“Beragaklah… Dia Menang Piala Dunia Lawan Mbappe”- Khelaifi Bidas Messi Yang Kemaruk Diraikan Oleh PSG

Pengerusi Paris Saint-Germain (PSG) Nasser Al-Khelaifi membidas Lionel Messi yang tidak menghormati kelab Ligue 1 itu.

Messi menjaringkan 32 gol daripada 74 perlawanan untuk kelab Perancis itu sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat pada musim panas lalu.

Sejak daripada itu kapten skuad kebangsaan Argentina itu tidak berhenti-henti melemparkan kritikan terhadap bekas kelabnya terutama kerana kegagalan PSG meraikan kejuaraan Piala Dunia yang dimenanginya.

Bercakap kepada Olga pada September lalu, Messi berkata: “Saya satu-satunya pemain yang tidak diiktiraf oleh kelab (atas kejayaan di Piala Dunia) berbanding 25 rakan sepasukan (Argentina) yang lain.”

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu bagaimanapun menerima penghormatan ‘guard of honor’ daripada rakan sepasukannya di PSG sekembalinya daripada tempoh cuti tambahan selama 10 hari pada ketika itu.

Walaubagaimanapun jelas Messi mempunyai isu dengan pihak pengurusan kelab Ligue 1 itu.

Messi dipercayai mahu trofi Piala Dunia dipersembahkan di Parc des Princes sebelum perlawanan, namun pihak kelab risau tindakan tersebut akan mendatangkan reaksi negatif daripada penyokong kerana Kylian Mbappe beraksi bersama Perancis.

Selepas kritikan Messi itu, Khelaifi tampil dengan penjelasan mengapa permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan.

“Seperti yang ramai lihat, kami telah menghasilkan satu video pendek, meraikan Messi ketika latihan, dan turut meraikan kejayaannya secara tertutup,” kata Khelaifi kepada RMC Sport pada September.

“Tetapi perlu ada rasa hormat kerana kami adalah kelab Perancis. Ia boleh menjadi sensitif untuk meraikannya di stadium. Kita semua harus menunjukkan rasa hormat kerana pasukan negara ini kalah dan rakan sepasukannya juga berada di dalam pasukan Perancis pada ketika itu, begitu juga terhadap penyokong.”

Kini Al Khelaifi sekali lagi membidas Messi kerana sikap pemain itu yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada bekas majikannya itu.

“Dia bukanlah orang jahat, tetapi saya tetap tidak sukakannya,” kata Khelaifi kepada RMC Sport.

“Saya berkata ini bukan untuk dirinya saja tetapi untuk semua orang. Bila bercakap, cakaplah ketika masih di sini. Bukan selepas awak tinggalkan kelab. Itu bukan cara kami di sini.

“Saya sangat menghormati dia [Messi] tetapi jika ada sesiapa pun bercakap hanya semua perkara buruk mengenai PSG, itu bukan perkara baik. Langsung tiada rasa hormat di situ.”

“Dan jika ada sesiapa yang lain mengatakan kami tidak meraikan dia dengan cukup selepas dia memenangi Piala Dunia, kena beragaklah kerana dia berada di Perancis dan menang menentang Kylian Mbappe.

“Kita ni kelab Perancis. Saya pun tak nak keseluruhan stadium nanti benci dengan dia.”

BACA:  Messi Rindukan Saat Bersama Ronaldo Di Sepanyol