Messi Perli Sinis Ronaldo, Anggap Saudi Pro League Liga BBNU

Lionel Messi sekali lagi mencetuskan perdebatan mengapa dirinya memilih untuk ke Amerika Syarikat dan menyertai Inter Miami dan bukannya ke Saudi Pro League.

Messi meninggalkan Paris Saint-Germain pada musim panas lalu untuk menyertai kelab milik David Beckham itu dan terus menghadirkan impak memenangi kejuaraan untuk kelab francais MLS itu.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu mempunyai beberapa tawaran lain sebelum ke Amerika Syarikat.

Bercakap dalam satu temubual bersama TIME, Messi mengakui dirinya turut mempertimbangkan kemungkinan untuk kembali menyertai Barcelona selain ke Arab Saudi di mana seteru utamanya Cristiano Ronaldo turut beraksi.

Namun Messi bertanggapan Saudi Pro League masih lagi bukan salah satu pertandingan yang dianggap penting walaupun berpendapat ia mempunyai potensi untuk menjadi antara pertandingan bola sepak terbesar dunia pada masa hadapan.

“Sebenarnya saya begitu bernasib baik. Saya ditawarkan beberapa tawaran menarik, dan saya menganalisis setiap satu daripadanya dan berfikir.

“Saya turut melakukan pertimbangan bersama keluarga sebelum membuat keputusan akhir untuk ke Miami,” kata Messi.

“Pilihan pertama saya adalah untuk kembali ke Barcelona, tetapi ia begitu mustahil. Saya cuba untuk kembali, namun ia tidak terjadi.

“Arab Saudi pula ada banyak perkara bercampur-campur untuk difikirkan.

“Memang benar pada mulanya saya berfikir dengan banyak untuk ke Liga Saudi, tetapi negara itu sedang berusaha untuk menjadikan liga bola sepak di sana menjadi pertandingan yang kuat dan berpotensi menjadi antara pertandingan terpenting di dunia suatu hari nanti.

“Sebagai duta pelancongan kepada negara itu, ia adalah destinasi yang menarik perhatian saya, terutama kerana saya menikmati setiap lawatan ke negara itu. Kerana bola sepak di sana baru saja berkembang dan usaha yang mereka berikan untuk menjadikan ia antara pertandingan besar.”

Messi sebelum ini turut pernah menggelar MLS sebagai liga kecil dalam tembual terdahulu.

Komen Messi ini tiba selepas Ronaldo menyifatkan Saudi Pro League adalah lebih besar daripada MLS dan bakal memintas Turki Super Lig dan Erdivisie dalam masa terdekat.

BACA:  Bermula Tengah Malam Ini, Leo Messi Adalah Ejen Bebas dan Bukan Lagi Pemain Barcelona