Henderson Tinggalkan Al Ettifaq Tanpa Terima Sesen Gaji Dan Tanggung Hutang Jutaan Pound

Jordan Henderson dilaporkan tidak pernah menerima bayaran gaji £350,000 seminggu sepertimana yang terkandung di dalam kontraknya bersama Al Ettifaq.

Kontrak pemain tengah England itu dengan kelab Saudi Pro League itu telah ditamatkan, dan Henderson dijangka akan menyertai Ajax dalam masa terdekat.

Bekas kapten legenda Liverpool itu hanya beraksi selama enam bulan di Arab Saudi. Laporan mengatakan kesukaran keluarganya menyesuaikan diri dengan kehidupa di Timur Tengah menjadi antara sebab Henderson perlu mengubah haluan kariernya dan kembali ke Eropah.

Walaupun demikian ianya tidak mudah seperti disangka untuk Henderson kembali ke Eropah. Ini kerana tempoh singkat pemain itu beraksi di Arab Saudi menyebabkan hutang cukai mencecah jutaan pound.

The Telegraph mendedahkan punca sebenar Henderson tidak mendapat bayaran langsung daripada gaji £350,000 seperti dijanjikan kerana ia digunakan untuk menjelaskan cukai.

Berdasarkan kontrak pemain itu hanya akan mendapat bayaran penuh gaji mewah yang dijanjikan kepadanya sekiranya beraksi selama 2 tahun di negara itu.

Ini bermakna Henderson hampir pasti tidak akan mendapat walau satu sen pun bayaran sepanjang beraksi bersama skuad kendalian Steven Gerrard itu.

Cukai tersebut wajib dijelaskan untuk membenarkan Henderson kembali ke England dan menyertai skuad kebangsaan Three Lions.

Pada masa ini Henderson diberikan tempoh pro rata 3 minggu sahaja untuk berada di England sehingga urusan pencukaian di Arab Saudi diselesaikan.

Sebelum ini laporan daripada UK dan Arab Saudi mendedahkan Henderson mencari kelab baharu di Eropah dan sedia meninggalkan Al Ettifaq sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan agar kontrak ditamatkan tanpa sebarang bayaran pampasan.

Henderson tampil mewakilinya sendiri ketika berbincang dengan pengurusan Al Ettifaq, dan kini pemain itu dijangka akan diumumkan sebagai pemain Ajax dalam masa terdekat.

Laporan dari Belanda mendedahkan Ajax sedia menawarkan kontrak selama 18 bulan untuk pemain tengah itu dengan pilihan tambahan 12 bulan selepas itu.

Sekiranya segalanya mampu diselesaikan mengikut perancangan, Henderson dijangka dibenarkan beraksi untuk Ajax dalam perlawanan menentang Heracles pada 27 Januari.

BACA:  Sejarah Permusuhan Manchester United Dan Liverpool Bukan Sekadar Bola Sepak