Enggan Tergoda Seperti Gerrard, Gattuso Tolak Peluang Ke Arab Saudi Walaupun Dipujuk Perdana Menteri

Gennaro Gattuso dilaporkan telah menerima beberapa tawaran daripada kelab Saudi Pro League untuk menjadi jurulatih di negara Timur Tengah itu.

Namun demikian bekas pemain dan jurulatih AC Milan itu tidak mudah diyakinkan sepertimana Steven Gerrard yang menerima tawaran Al Ettifaq – walaupun dihubungi secara peribadi oleh Perdana Menteri Arab Saudi!

Pada awal bulan lalu Saudi Investment Fund (PIF) mengambil alih 75% pegangan di dalam empat kelab paling berjaya Arab Saudi – Al-Ittihad, Al-Nassr, Al-Ahli, dan Al-Hilal – dengan sasaran memancing bakat-bakat terbaik bola sepak Eropah ke negara itu.

PIF adalah kumpulan firma yang sama berjaya mendapatkan pemilikan majoriti Newcastle United sebelum ini.

Tatkala Nuno Espirito dan Steven Gerarrd antara nama besar pengurus/jurulatih yang mengembangkan karier di Arab Saudi, Gattuso pula sebaliknya.

Walaupun kini tanpa kelab, Gattuso sedia menyahut cabaran untuk meneruskan karier di Eropah, setelah dipecat Valencia sebelum ini.

Gattuso bukan satu-satunya jurulatih yang telah menolak kemewahan yang ditawarkan oleh Saudi Pro League.

Dua jurulatih dan nama besar dari Serie A, Massimiliano Allegri dan Jose Mourinho turut dilaporkan menolak peluang untuk menyertai kelab-kelab di negara Timur Tengah itu.

Semalam melalui satu podcast, bekas jurulatih Aston Villa dan Rangers, Simon Jordan mengkritik pilihan Steven Gerrard untuk menyertai Al Ettifaq walaupun sebelum itu bertegas mahu mencipta nama di Eropah.

Menurut Simon masa depan Gerrard kini ibarat sudah berada di penghujung kerana mustahil seseorang pengurus berjaya mencipta nama di Arab Saudi kemudiannya akan ke Premier League.

“Ini bukan keputusan disebabkan bola sepak. Ini kerana wang,” kata Simon ketika bercakap kepada talkSport.

“Menipulah kalau anda ditawarkan dengan kekayaan, dan anda langsung tidak mementingkannya.

“Jika anda membuat keputusan kerana bola sepak dan mahu melalui pengalaman untuk berjaya sebagai seorang jurulatih, anda tidak perlu ke Dubai atau Timur Tengah.

“Apa yang dilakukannya tidak akan memulihkan reputasi dirinya.”

BACA:  Steven Gerrard vs Paul Scholes: Ini Pilihan Thierry Henry