Menyesal Tinggalkan Liverpool, Henderson Terdesak Kembali Ke Eropah

Jurgen Klopp mengakui dirinya telah berkomunikasi dengan bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson namun tidak membincangkan kemungkinan pemain itu kembali ke Anfield.

Henderson mninggalkan The Reds pada musim panas lalu untuk menyertai Al Ettifaq kendalian Steven Gerrard di Saudi Pro League.

Henderson adalah antara pemain berprofil tinggi yang berhijrah ke Timur Tengah dan menimbulkan kontroversi apabila perpindahan tersebut dikatakan bermotifkan kewangan.

Namun hanya selepas beberapa bulan melengkapkan perpindahan bernilai £12 juta itu, Henderson dilaporkan sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya di Arab Saudi dan mahu kembali ke Premier League.

Jurgen Klopp turut ditanya mengenai potensi Henderson kembali ke Anfield selepas kemenangan 2-0 ke atas Liverpool di pusingan ketiga Piala FA.

“Adakah Hendo bercakap mengenai perkara ini [kembali ke Liverpool] di sidang media? Ah, ia hanya laporan. Pada saya berita itu tidak wujud,” jawab Klopp.

“Dia tidak menghubungi saya [untuk kembali]. Kami memang ada berkomunikasi tetapi bukan mengenai hal ini. Jadi tidak ada keperluan untuk bercakap mengenainya.”

Beraksi selama 12 musim bersama Liverpool, Henderson beraksi 19 kali buat At Ettifaq yang turut menandatangani bekas gandingannya di Anfield Georginio Wijnaldum.

Walaupun demikian skuad kendalian Gerrard bergelut di dalam aksi domestik apabila gagal menang dalam lapan perlawanan berturut-turut.

Kemenangan terakhir dicapai oleh Al Ettifaq adalah pada Oktober tahun lalu.

Henderson berhijrah ke Al Ettifaq selepas diyakinkan Ian Foster yang merupakan pembantu kepada Gerrard pada ketika itu. Namun Foster pada ketika ini sudah menyertai Plymouth Argyle di Championship.

Foster memainkan peranan besar membawa Henderson ke Arab Saudi, namun bekas pemain Sunderland itu dikatakan telah memaklumkan kepada rakan sepasukannya, dirinya sedang menilai pilihan yang ada di jendela perpindahan Januari ini untuk meninggalkan Al Ettifaq.

Liverpool memiliki klausa ‘beli-kembali’ untuk Henderson, namun Al Ettifaq hanya akan melepaskan pemain itu sekiranya mendapat tawaran yang tidak dapat ditolak.

Malah Henderson dilaporkan sanggup merendahkan permintaan gajinya untuk meninggalkan Saudi Pro League. Situasi tersebut bagaimanapun akan menyebabkan pemain itu meninggalkan beban cukai yang tinggi.

Menurut peraturan di negara itu, cukai terhadap pendapatan Henderson hanya akan bebas cukai sekiranya dia bermain di negara itu selama dua musim.

Buat masa ini Henderson kelihatan seperti tersepit dan terperangkap di Arab Saudi.

BACA:  "Tidak Adil Dan Melampau"- Datuk Bandar Liverpool Simpati Nasib Everton