Kelab Saudi Dipalit Hutang RM75 Juta Daripada 21 Kes Tunggakan Gaji Pemain Setakat Ini

Sebuah laporan mendedahkan beberapa kelab Saudi Pro League (SPL) kini diarahkan untuk membayar jumlah terkumpul USD16 juta (RM75 juta) melibatkan 21 kes tunggakan gaji kepada pemain.

Kelab-kelab Arab Saudi sebelum ini telah membelanjakan hampir USD1 billion untuk mendapatkan pemain ternama berprofil tinggi sebelum jendela perpindahan di negara itu ditutup pada 7 September lalu.

Malah pada jendela perpindahan lalu, hanya Premier League merekodkan jumlah transaksi tertinggi berbanding SPL yang kini bermegah dengan nama-nama besar bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, N’Golo Kante, Neymar, Riyad Mahrez, Ruben Neves, Kalidou Koulibaly, Roberto Firmino, Sadio Mane, Fabinho dan Aymeric Laporte.

Walaupun demikian SPL tidak terkecuali dengan tuntutan di antara kelab dan pemain berkaitan tunggakan gaji dan pelanggaran kontrak.

Malah sebelum ini FIFPRO sebagai kesatuan pemain yang bernaung di bawah FIFA turut pernah memberi amaran agar pemain lebih berhati-hati sebelum mengikat kontrak dengan mana-mana kelab di Arab Saudi kerana rekod buruk terdahulu.

Antara yang menjadi mangsa kini adalah bekas penyerang Nottingham Forest dan Bournemouth Lewis Grabban yang menuntut USD2.69 juta (RM12.6 juta) dalam bentuk tunggakan gaji daripada Al Ahli.

Menurut laporan The Athletic, kontrak dua tahun Grabban dibatalkan oleh kelab secara tiba-tiba selepas hanya tiga bulan menyertai kelab itu.

Al Ahli baru-baru ini melangsaikan USD700,000 kepada Grabban dan kelab itu kemudiannya dilarang oleh FIFA untuk mendaftarkan pemain baharu sebanyak dua jendela perpindahan.

Rayuan Al Ahli kepada Mahkamah Timbang Tara (CAS) bagaimanapun membenarkan mereka terus memborong pemain bintang pada musim panas lalu.

Seorang lagi pemain yang terpalit dengan tunggakan gaji dengan Al Ahli adalah pemain Argentina Lisandro Alzugaray yang ditamatkan kontrak hanya selepas 38 hari.

Pemain itu mengalami kecederaan buku lali selepas menyertai kelab itu dan menyebabkan pihak pengurusan Al Ahli membatalkan kontrak pemain itu selain mendakwa Alzugaray melanggar kontrak kerana menyembunyikan kecederaannya.

Alzugaray kemudiannya mengambil tindakan terhadap Al Ahli selepas ia berlaku pada hari terakhir jendela perpindahan dan mendakwa dirinya sebenar menjadi mangsa kelab yang mahu mengosongkan kuota pemain import untuk memberi laluan kepada pemain lain.

Perkara sama turut menimpa pemain antarabangsa Tunisia Hamdi Nagguez. Berbeza dengan Alzugaray, Nagguez telah menerima tunggakan gaji USD425,445, selain pampasan berjumlah USD444,445.

Kelab diwakili Cristiano Ronaldo Al Nassr turut pernah digantung daripada mendaftarkan pemain baharu sebelum penyelesaian dilakukan bersama pemain terlibat.

Kelab itu turut diarahkan untuk membayar tunggakan kepada pemain tengah Brazil, Petros sebanyak USD2.5 juta dan kes tersebut kini masih belum diselesaikan.

Al Nassr turut menamatkan kontrak Abderrazak Hamdallah dengan alasan bosan dengan sikap tidak profesional pemain itu.

Kes lain turut melibatkan Everton Ferreira Guimaraes yang beraksi di Divisyen 2 Arab Saudi bersama Arar. Pemain itu menyebabkan pihak pengurusan kelab marah selepas membuat dua hantaran di media sosial mendedahkan dirinya tidak dibayar gaji oleh kelab tersebut.

BACA:  Pegawai Bola Sepak Arab Saudi Mahu Kelab Pancing Mohammed Salah