Klopp Bingung Pemain Sehebat Mane Gagal Hadirkan Impak Bersama Bayern Munich

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp mengakui dirinya terkejut dan kebingungan melihat pemain seperti Sadio Mane gagal menghadirkan impak di Bayern Munich.

Penyerang dari Senegal itu sebelum ini dianggap sebagai antara penyerang terbaik sepanjang enam musim beraksi di Premier League.

Sepanjang tempoh di Liverpool, Mane membantu kelab Merseyside itu menjulang Premier League, Piala FA dan juga Champions League di bawah kendalian Klopp.

Mane turut memenangi Anugerah Kasut Emas pada 2019 dan menjaringkan lebih 20 gol selama empat musim – termasuk 23 gol yang dihasilkannya pada musim terakhir di Anfield.

Harapan yang diletakkan pada Mane mungkin terlalu tinggi apabila Bayern Munich membelanjakan £35 juta untuk pemain itu pada musim panas 2022.

Pada ketika itu Mane dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robert Lewandowski yang berhijrah ke Barcelona.

Namun demikian, selepas hanya semusim Mane hanya menghasilkan 7 jaringan dan turut terbabit dengan insiden menumbuk rakan sepasukan Leroy Sane.

Mane akhirnya diumumkan sebagai pemain baharu kelab Saudi Pro League, Al Nassr semalam.

Ketika ditanya mengenai kegagalan Mane di Bayern Munich dalam satu sidang media, Klopp mengakui dirinya terkejut dengan apa yang berlaku kepada bekas pemainnya itu.

“Saya tidak tahu di mana silapnya [di Bayern]. Apabila dia pergi meninggalkan kami, dia berada di dalam keadaan sangat baik, seorang pemain berkelas dunia.

“Dia masuk ke dalam persekitaran baharu, dan juga mungkin harapan baharu diberikan. Saya tidak bercakap kepada Mane mengenai perkara itu.”

Klopp bercakap sedemikian dalam sidang media menjelang perlawanan pra musim menentang Bayern pada malam tadi.

Tewas 3-4 kepada jaguh dari Jerman itu, Klopp mengakui Bayern Munich bukan calang-calang pasukan.

“Ia perlawanan paling sukar kami hadapi [ketika pra musim0], itu sudah pasti.

“Kami telah melakukan analisis beberapa perlawanan mereka di Jepun termasuk ketika menentang Mancheseter City. Bayern secara tradisinya adalah sebuah pasukan yang sangat hebat.

“Mereka memiliki empat pemain pertahanan berkelas dunia, dua gandingan pemain tengah berkelas dunia, kepantasan di bahagian depan dan segalanya bersama teknik dan kemahiran penyudah tajam.

“Kelebihan itu amat mengujakan. Tetapi kami memang mahukan lawan yang kuat jadi perlawanan ini adalah ujian yang paling sukar untuk pra musim kali ini. Itulah yang kami perlukan sekarang,” tambahnya lagi.

BACA:  Lihat Aksi Darwin Nunez Jadikan Hal Yang Mudah Nampak Mustahil