Piala Asia: Indonesia Buat Laporan Rasmi Kepada AFC Mutu Pengadilan Lawan Iraq

Indonesia telah menghantar bantahan rasmi kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk gol kedua Iraq selepas tewas 3-1 kepada lawan mereka itu di pertandingan peringkat kumpulan Piala Asia baru-baru ini.

Indonesia menghantar bantahan rasmi tersebut kerana percaya pengadil perlawanan gagal menilai dengan betul dan membenarkan jaringan tersebut diberikan kepada Iraq sehingga menyebabkan mereka tewas dan menyukarkan peluang layak ke pusingan seterusnya dalam pertandingan tersebut.

Selepas perlawanan, pemain-pemain Indonesia kelihatan tidak berpuas hati dan mengerumuni pengadil untuk membantah keputusan pengadil memberikan jaringan yang didakwa offside kepada Iraq.

“Kami telah menghantar bantahan rasmi kepada pegawai perlawanan,” kata pengurus pasukan Endri Erawan.

Jaringan kontroversi tersebut terhasil pada minit ke-7 masa kecederaan pada penghujung babak pertama ketika kedudukan terikat 1-1.

Percubaan awal oleh Ali Jassim gagal ditampan kemas Ernando Ari dan bola muntah pantas disambar Osama Rashid untuk mengembalikan kelebihan kepada Iraq.

Ketua Jurulatih Shin Tae-yong pantas menilai kembali jaringan tersebut melalui skrin yang terletak di kawasan teknikal Indonesia sebelum meminta pengadil melakukan semakan melalui VAR.

Walaupun demikian, pengadil perlawanan Tantashev Ilgiz memutuskan untuk mengekalkan jaringan tersebut.

“Kami tahu bantahan tersebut tidak akan mengubah keputusan perlawanan. Namun kami melakukannya dengan harapan pengadil akan bertindak lebih baik untuk perlawanan seterusnya di kejohanan ini,” tambah Erawan.

“[Jaringan] ini tidak boleh diterima sama sekali. Ia pasti 100% offside. Pengadil melakukan kesilapan membenarkan jaringan tersebut, dan ia mengubah hala tuju perlawanan selepas itu,” kata Shin Tae-yong selepas perlawanan.

Ketua Jurulatih Iraq Jesus Garcia pula menyifatkan kem Indoenesia bertindak berlebih-lebihan kerana membatalkan jaringan tersebut. Garcia juga percaya pengadil telah melakukan keputusan yang adil dan tepat.

“Saya menghormati jurulatih Indonesia, tetapi Iraq menang kerana persembahan yang cemerlang, bukan kerana bantuan pengadil seperti yang didakwa olehnya,” kata Garcia.

Jaringan kontroversi oleh Iraq itu menyebabkan media sosial AFC diserang oleh peminat dan netizen dari Indonesia. Mereka mendakwa VAR tidak menyebelahi Indonesia dan menuntut rakaman perbualan perbincangan di antara pengadil utama dan pengadil VAR disiarkan.

Indonesia akan menentang Vietnam pada perlawanan seterusnya pada 19 Januari dalam perlawanan wajib menang buat kedua-dua wakil Asia Tenggara itu sebarang peluang mara ke pusingan seterusnya.

BACA:  AFF U23 2023: Malaysia 2-1 Indonesia