Bielsa Dan Uruguay Tamatkan Rentetan Kemenangan Messi Dan Juara Dunia Argentina

Lionel Messi gagal membantu Argentina mengekalkan rentak kemenangan selepas menjuarai Piala Dunia 2022.

Uruguay menewaskan Argentina 2-0 di Stadium La Bombonera, Buenos Aires pada pagi tadi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia – kemenangan paling bermakna Uruguay di bawah kendalian Marcelo Bielsa setakat ini.

Argentina belum lagi merasakan kekalahan menuju perlawanan ini sejak tewas kepada Arab Saudi di perlawanan pembukaan Piala Dunia di Qatar.

Dan juara dunia itu juga tidak pernah tewas di tempat sendiri sejak tewa 1-0 kepada Paraguay pada 2016, juga di pusingan kelayakan Piala Dunia.

Uruguay beraksi dengan agresif sejak wisel permulaan. Darwin Nunez hampir sahaja meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-10 selepas kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Nicolas Otamendi.

Untuk kali pertama sejak menjuarai Piala Dunia, jurulatih Lionel Scaloni kelihatan tidak tenang dan dilihat menjerit ke arah pemainnya yang gagal mengekang ancaman pemain sayap pasukan lawan.

Namun demikian barisan pemain Argentina terus tertekan dan akhirnya dihukum pada minit ke-42 perlawanan. Matias Vina berjaya merampas bola daripada Nahuel Molina dan hantaran lintang pemain itu berjaya dirembat masuk oleh Ronald Araujo untuk gol pertama perlawanan.

Argentina kemudiannya hampir menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma Messi dan percubaan jarak dekat Otamendi yang memaksa penjaga gol Sergio Rochet melakukan aksi menyelamat sebelum babak pertama perlawanan tamat.

Selepas rehat Uruguay terus meningkatkan tekanan kepada Argentina yang banyak bersandar kepada Messi dan Angel di Maria untuk mencipta gerakan.

Minit ke-57 perlawanan sekali lagi Messi dikecewakan apabila sepakan percumanya sekadar terkena palang gol.

Penyerang Liverpool, Nunez kemudiannya menggandakan kedudukan dan mematikan langkah Argentina apabila menyumbat gol kedua perlawanan pada minit ke-87 hasil serangan balas pantas.

Jaringan tersebut terhasil setelah barisan pertahanan Uruguay berjaya merampas bola daripada Messi.

“Kami tidak pernah selesa bermain perlawanan ini,” kata Messi selepas perlawanan.

“Uruguay adalah pasukan yang beraksi secara fizikal dan bermain dengan baik sebagai sebuah unit. Ia sentiasa begitu ketika berhadapan dengan mereka.”

Scaloni turut mengakui Uruguay adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan tersebut.

“Kami tidak boleh terus berfikir bahawa juara dunia tidak boleh tewas. Kami tidak kebal daripada kekalahan. Saya pernah mengatakan ini, dan akan terus mengingatkan semua tentang fakta ini.” kata Scaloni.

Sahabat baik Messi, Luis Suarez yang turut dipanggil oleh Bielsa untuk memperkuatkan Paraguay bagaimanapun tidak turun beraksi.

Perlawanan sebelum ini turut menyaksikan Uruguay menewaskan Brazil dengan jumlah jaringan yang sama. Bielsa dan Uruguay akan berhadapan Bolivia selepas ini.

BACA:  Coutinho Dilihat Masih Memakai Gelang Azimat Yang Dihadiahkan Oleh Messi