Marcelo Kongsi Rahsia Minimakan Ancaman Messi Yang Ramai Pemain Pertahanan Tidak Tahu

Apakah kaedah terbaik untuk mengekang ancaman Lionel Messi? Soalan ini telah menghantui ramai pengurus dan pemain pertahanan sejak lebih sedekad lalu.

Ramai yang gagal. Dan hanya segelintir berjaya melakukannya berkemungkinan kerana bernasib baik.

Umum mengetahui kelincahan dan kemampuan teknikal tinggi dimiliki bintang dari Argentina ini. Malah sebenarnya ia hampir mustahil untuk mengekang ancaman daripada Messi, tetapi ia sebenarnya tidak mustahil untuk meminimakannya.

Tiada kelab paling menderita berbanding Real Madrid ketika Messi masih beraksi bersama Barcelona. Rekod menunjukkan Messi menjaringkan 26 gol daripada 45 perlawanan El Klasiko di antara kedua-dua pasukan.

Baru-baru ini Federico Valverde mengakui tidak mempunyai idea bagaimana untuk mengekang Messi menjelang pertemuan di antara Uruguay dan Argentina pada minggu ini.

Bekas pemain pertahanan Real Madrid, Marcelo kemudiannya turut diajukan soalan dan pengalamannya ketika berhadapan dengan Messi.

“Messi tidak bercakap ketika perlawanan berlangsung, dan saya juga cuba untuk tidak bercakap dengannya kerana dia sangat diam,” kata Marcelo dalam satu podcast.

“Kami [pemain Real Madrid] sentiasa berkata sesama kami untuk biarkan saja dia begitu. Kerana jika anda cuba bermain secara fizikal, tindakan tersebut secara automatik akan memprovok dia.

“Dan apabila dia mulai marah, dia akan menjadi semakin sukar untuk dikekang.”

Apa yang cuba disampaikan oleh Marcelo sememangnya terbukti melalui pertemuan-pertemuan El Klasiko yang lalu.

Setiap kali pemain Real Madrid cuba untuk mengasari Messi, tindakan tersebut sebenarnya hanya sia-sia dan ia tidak akan menghentikan Messi.

Sergio Ramos terutamanya adalah pemain yang sentiasa berhadapan dengan Messi di dalam salah satu perseteruan paling ikonik di dalam sejarah bola sepak Sepanyol.

BACA:  Mourinho Titipkan Nasihat Buat Ancelotti - "Orang Gila Seperti Saya Saja Yang Tinggalkan Real Madrid"