‘Bengang Dibelasah Liverpool’ – Penyokong Everton Merosakkan Harta Benda Di Anfield

Penyokong Everton dikatakan telah melakukan tindakan vandalisma dengan merosakkan harta benda di Anfield selepas tamat aksi kekalahan bertemu Liverpool malam semalam.

The Toffees turun dalam perlawanan ini dengan misi wajib menang dek kerana mereka mahu mengelak dari berada di zon penyingkiran.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Frank Lampard itu gagal untuk mengutip tiga mata penuh selepas mereka berdepan kekalahan 2-0 di tangan musuh tradisi mereka itu.

Dua gol jaringan Andy Robertson dan Divock Origi pada aksi babak kedua permainan membantu Liverpool untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan itu berjaya membantu Liverpool untuk terus memberi cabaran kepada Manchester City dengan kedua-dua pasukan kini masih lagi dipisahkan dengan perbezaan satu mata.

Sementara Everton pula mereka kini sudah berada di zon penyingkiran dengan mereka dua mata dipisahkan dari zon selamat.

Tujuh kad kuning telah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Stuart Attwell sepanjang perlawanan panas yang berlangsung di Anfield itu.

Kontroversi di atas padang sepertinya berlanjutan hingga ke penonton selepas segelintir penyokong pasukan pelawat dikatakan telah merosakkan harta benda stadium.

Tular gambar-gambar kerosakkan stadium di Anfield yang dikatakan berpunca dari tindakan para penyokong Everton.

Skrin TV dipecahkan, siling dan wayar di dalam tandas turut direntap dan di biarkan berselerak di lantai dan banyak lagi kerosakkan lain yang dilakukan oleh mereka.

Melihat kepada hal itu, ramai penyokong Liverpool yang tampil menghentam penyokong Everton kerana menunjukkan perangai tak matang.

Mungkin kerana kecewa pasukan seteru kini sedang bersaing merebut kejuaraan sedangkan mereka pula bergelut di zon penyingkiran menyebabkan penyokong Everton bertindak sedemikian.

Selain aksi panas pemain dan tindakan kontroversi penyokong, pengurus Everton Frank Lampard turut tampil menghangatkan lagi suasana dengan beliau menganggap pengadil perlawanan terlalu memanjakan Liverpool kerana perlawanan itu dilangsungkan di Anfield.

Frank Lampard anggap Anfield punca pengadil perlawanan memanjakan Liverpool

Frank Lampard menganggap Everton telah dirompak ketika beraksi bertemu Liverpool di Anfield malam semalam, selepas beberapa keputusan dari pengadil perlawanan diragui olehnya.

Legenda Chelsea itu mempersoalkan keputusan pengadil, Stuart Attwell yang menafikan hak Everton untuk memenangi sepakan penalti dalam perlawanan tersebut.

Anthony Gordon merupakan individu yang kerap terlibat dengan hampir kesemua insiden kontroversi dalam perlawanan ini.

Pemain sayap itu telah dilayangkan kad kuning kerana melakukan aksi dive yang mengecewakan pada aksi babak pertama permainan.

Beliau ketika itu dilihat sengaja merebahkan badan di dalam kotak penalti dalam usahanya mahu mendapatkan sesuatu, namun malangnya bukan penalti yang beliau terima sebaliknya kad kuning yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan kepadanya.

Walau bagaimanapun, pada aksi babak kedua permainan, beliau sekali lagi dijatuhkan di dalam kotak penalti dan kali ini sepertinya ada tolakan yang dilakukan oleh Joel Matip.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya yang kedua-dua insiden itu tak sepatutnya penalti namun Frank Lampard pula memiliki sudut pandangan yang berbeza.

“Jika kamu tonton semula pada VAR, memang ada beberapa hal yang patut dipersoalkan, mungkin itu benda yang kamu dah jangka ketika kamu datang sini.”

Jelas Lampard kepada Sky Sports selepas tamat perlawanan.

“Ya itu memang penalti pada aksi babak kedua. Tapi kamu tak akan dapat itu di sini. Jika Mo Salah yang jatuh, maka ia penalti.”

Klopp walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Lampard dengan beliau tampil menyatakan bahawa:

“Ia (insiden kedua) jelas sekali bukan penalti.”

Jelasnya kepada BBC Sport.

“Dia sangat bagus tapi dia bernasib baik kerana tak dilayangkan kad kuning kedua. Yang pertama memang bukan penalti dan yang kedua juga sama.”

Anthony Gordon sendiri turut mendedahkan yang beliau percaya beliau sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti untuk insiden tersebut.

“Kami sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti, itu adalah apa yang berlaku di mata saya.”

Jelas Gordon.

“Tapi kadang kala keputusan tidak akan memihak kepada kamu dan bola sepak kadang kala memang seperti itu.”

“Yang kedua antara yang paling kuat kerana dia (Matip) himpit kaki saya. Jelas sekali, saya berdepan satu lawan satu dengan dia dan saya dapat lepasi dia dan dia pijak kaki saya, yang mana ia menyebabkan saya berada dalam kesakitan dan saya jatuh.”

“Yang pertama, saya tonton semula. Saya rasa ada sentuhan dan kerana itu saya jatuh, tapi dari beberapa sudut pandangan, saya rasa saya faham kenapa pengadil tak bagi penalti. Tapi jelas sekali tak sepatutnya kad kuning kerana saya bukan dive.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Pernah Suruh Peminat Liverpool Tempah Hotel Di Istanbul, Hotel? Trivago..