Bengang Kena Lempar Objek, Alba Rembat Bola Ke Arah Penyokong Galatasaray

Pemain full-back Barcelona, Jordi Alba bengang kerana dilempar objek oleh para penyokong Galatasaray, dengan beliau membalas semula dengan merembat bola ke arah penyokong.

Insiden panas itu berlaku ketika aksi pertemuan antara Barcelona bertemu Galatasaray dalam aksi saingan Europa League awal pagi tadi di Istanbul.

Insiden tersebut berlaku pada minit ke-85 permainan dengan Alba ketika itu berjalan di tepi garisan untuk melakukan rutin lontaran ke dalam.

Walau bagaimanapun, penyokong Galatasaray bertindak buas dengan melempar objek seperti cawan plastik, botol minuman dan sampah sarap ke arah bintang Sepanyol itu.

Malang untuk Jordi Alba apabila salah satu objek yang dilempar oleh para penyokong itu telah tepat mengenai dirinya dan menyebabkan beliau naik berang.

Dek kerana bengang melihat penyokong Galatasaray yang tidak bertamadun itu, Jordi Alba kemudiannya hilang pertimbangan dan ikut sama jadi tak matang dengan merembat padu bola ke arah penyokong.

Tindakan beliau itu kemudiannya mengundang kekecohan di atas padang dengan para pemain kedua-dua pasukan saling tolak menolak tanda tak puas hati.

Perlawanan terpaksa dihentikan beberapa minit bagi petugas stadium mengeluarkan semua sampah sarap itu keluar dari padang di New Stadyumu itu.

Pujian harus diberikan kepada para pemain Galatasaray kerana mereka dilihat berusaha memujuk penyokong sendiri ketika perlawanan sedang dihentikan.

Jordi Alba sementara itu telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan kerana tindakan beliau merembat bola ke arah penyokong pasukan tuan rumah.

Keputusan beliau untuk merembat bola ke arah para penyokong Galatasaray itu telah menimbulkan perdebatan hangat para peminat di media sosial.

“Jordi Alba bersendirian sahaja menentang seluruh stadium dan saya puji dia kerana dia tak sekadar membiarkan dirinya diperlukan sesuka hati oleh penyokong Galatasaray.”

“Penyokong Galatasaray memang macam itu, mereka bukan hanya bersikap biadap terhadap pemain lawan, tapi turut lakukan hal sama kepada pemain sendiri.”

“Pemain kulit hitam takut bermain di sana kerana penyokong mereka yang ada sikap perkauman yang teruk, saya tak terkejut lihat sikap mereka dan pujian untuk Alba kerana berani melawan.”

“Kalau ada yang marah Alba kerana melawan, mereka jelas sekali bukan manusia, tidak mungkin Alba sekadar mahu membiarkan sahaja dirinya dilempar sebegitu.”

“Penyokong mereka juga sepatutnya dihalau dari stadium kerana mengganggu perjalanan perlawanan. Keindahan bola sepak dicacatkan oleh kumpulan penyokong seperti ini.”

Ekoran dari keputusan seri tanpa jaringan ketika beraksi di Nou Camp sebelum ini, Barcelona berjaya mara ke peringkat suku akhir saingan Europa League selepas menewaskan Galatasaray 2-1 secara aggregate.

Galatasaray terlebih dahulu mendahului perlawanan selepas Marcao meledak gol untuk pasukan tuan rumah, sebelum Pedri kemudiannya menyamakan kedudukan.

Pierre Emerick Aubameyang kemudiannya muncul sebagai wira Barcelona dengan beliau cemerlang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-49 permainan.

Aubameyang kini sudah berjaya menjaringkan tujuh gol dari tujuh perlawanan untuk kelab barunya itu, selepas beliau meninggalkan Arsenal pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini.

Selepas tamat perlawanan, pengurus Barca, Xavi telah memberikan pujian menggunung kepada usaha anak-anak buahnya dengan menyatakan bahawa:

“Kita bermain dalam perlawanan yang mempunyai personaliti yang besar. Ia merupakan persembahan yang menakjubkan dalam usaha mereka untuk kembali melawan.”

“Beraksi di tempat seperti ini, bertemu dengan pasukan yang sangat bagus, mereka tahu bagaimana untuk bertahan berdepan kami tapi kami bersabar. Saya sangat gembira untuk pemain saya.”

“Hari ini sangat penting. Ia merupakan pertandingan Eropah dan kami mahu pergi lebih jauh. Dan kamu boleh kata kami dalam keadaan cukup bagus menjelang El Clasico. Tapi itu tak bermaksud apa-apa, saya sudah lihat itu banyak kali. Ia akan tetap menjadi sukar. Tetap menjadi perlawanan yang sulit.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bukti Nyata Yang Gerard Pique Benar-benar Menyayangi Barcelona