Pengurus Chelsea, Antonio Conte jelas tidak gembira dengan kenyataan Jose Mourinho yang mengungkit kisah silamnya dalam skandal mengatur perlawanan, dan menggelar Mourinho sebagai seorang ‘budak kecil’.
Bekas pengurus Itali dan Juventus ini berang dengan dakwaan terbaru Mourinho itu dan sudah tidak sabar untuk berhadapan dengan Mourinho apabila kedua-dua pasukan bertemu bulan hadapan.
Seperti semua sedia maklum, Mourinho dan Conte tidak mempunyai hubungan yang baik di antara mereka dan sering bertelagah apabila Chelsea dan Manchester United bertemu dalam padang.
Tetapi, Mourinho semakin menyemarakkan lagi persengketaan mereka selepas mengungkit kisah silam Conte yang pernah digantung kerana terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.
Conte menjalani penggantungan selama 4 bulan pada musim 2012/13 ketika mengemudi pasukan Juventus kerana gagal melaporkan skandal mengatur perlawanan musim sebelumnya iaitu ketika beliau menjadi pengurus pasukan Siena. Kenyataan Mourinho yang mengundang api kemarahan Conte adalah seperti berikut:
“Tetapi apa yang belum pernah berlaku dan tidak akan berlaku adalah saya digantung kerana mengatur perlawanan. Saya tidak pernah mengatur perlawanan dan ia tidak akan berlaku.” Mourinho dipetik berkata dalam sidang media beberapa hari yang lalu.
Selepas mengetahui kenyataan Mourinho terhadapnya, Conte tidak dapat duduk diam dan menggelar pengurus berasal dari Portugal itu sebagai talam dua muka dan berfikiran seperti budak kecil. Dalam sidang media selepas Chelsea diikat Norwich dalam Piala FA semalam, Conte dipetik berkata:
“Mourinho menunjukkan dirinya adalah seorang budak kecil. Beliau berkelakuan seperti budak kecil pada masa lepas, sekarang dan pada masa yang akan datang.”
“Mourinho bukan masalah saya. Saya menganggap beliau sebagai budak kecil yang berprofil bawahan. Saya masih ingat lagi peristiwa beliau dengan Claudio Ranieri.”
“Beliau mengecam Ranieri kerana penguasaan English yang rendah. Dan selepas Ranier dipecat, Mourinho memakai baju yang tertera nama Ranieri. Ini menunjukkan Mourinho adalah seorang yang bermuka-muka.”
C0nte turut menjawab dakwaan Mourinho yang menuduhnya terbabit dengan skandal mengatur perlawanan di Serie A pada masa lepas.
“Sebelum membuat dakwaan liar ini, Mourinho harus tahu perkara sebenar terlebih dahulu. Yang sebenarnya adalah saya digantung kerana gagal melaporkan skandal mengatur perlawanan. Selepas itu, saya memohon untuk dibicarakan dan mahkamah telahpon mengishtiharkan yang saya tidak bersalah.”
“Saya rasa sebelum beliau membuat komen sebegini untuk menyakitkan hati orang lain, beliau harus terlebih dahalu memeriksa fakta. Semua orang tahu bagaimana kelakuan Mourinho. Ini adalah serangan peribadi paling rendah. Sebelum kamu membuka mulut, kamu harus tahu apa yang benar-benar berlaku terlebih dahulu.”
Apabila ditanya adakah beliau akan berjumpa Mourinho untuk mendapatkan penjelasan dari pengurus United ini pada masa hadapan, Conte menjawab Mourinho tidak akan bersedia untuk bersua muka dengannya apabila Chelsea berkunjung ke Old Trafford hujung bulan depan.
“Saya akan mendapat peluang untuk mendapatkan penjelasan di Old Trafford apabila saya bersua muka dengan beliau. Saya akan bersedia tetapi saya tidak rasa Mourinho akan bersedia untuk berjumpa dengan saya.”
Chelsea akan membuat perhitungan dengan Manchester United pada 25 Februari ini dalam Liga Perdana Inggeris yang mana perlawanan tersebut bakal berlangsung di Old Trafford.