Legenda Setan Merah Bidas Aksi Acah Hero Lisandro Martinez

Peter Schmeichel tidak berselindung dan membidas tindakan Lisandro Martinez mempertahankan persembahan pasukannya walaupun tewas 3-1 kepada Brighton pada hujung minggu lalu.

Malah penjaga gol legenda Setan Merah itu menganggap Martinez cuba untuk menjadi hero walaupun hakikatnya pemain itu turut melakukan kesilapan sehingga menyebabkan United dimalukan di hadapan penyokong sendiri.

United kini jatuh ke tangga ke-13 Premier League selepas perlawanan pada hujung minggu lalu setelah bekas penyerang dan idola di Old Trafford Danny Welbeck meletakkan Brighton di hadapan selepas 20 minit perlawanan.

Derita United terus berlarutan selepas itu apabila skuad kendalian Roberto de Zerbi menambah dua lagi jaringan melalui Pascal Gross dan Joao Pedro untuk kemenangan keempat pasukan itu pada musim ini.

Pemain muda Hannibal Mejbri mejaringkan gol sagu hati buat pasukan tuan rumah, dan perlawanan itu turut mendapat kritikan daripada Erik ten Hag sendiri yang mahukan pemain meningkatkan prestasi secara individu.

Ten Hag bagaimanapun menafikan pasukan itu kini dilanda krisis selepas dibayangi pelbagai isu dalam dan luar padang sejak beberapa bulan yang lalu.

Schmeichel yang menjuarai lima kejuaraan Premier League dan satu medal Champions League bersama United tidak ketinggalan mengkritik prestasi United khususnya penampilan Martinez di bahagian pertahanan selepas perlawanan.

Bekas penjaga gol itu berkata Martinez sepatutnya memastikan kehadirannya lebih dirasai dalam menafikan jaringan kedua Brighton yang dihasilkan Gross.

“Itulah perkara yang berlaku di Manchester United pada ketika itu, ia adalah kesilapan individu pemain,” kata Schmeichel kepada Premier League.

“Lihat sahaja Martinez, dia cuba menjadi hero dan apabila sekadar mencuba untuk menghalang bola itu.

“Kita semua boleh ligat. Jika anda perhati dalam situasi itu dia berada sebaris dengan penjaga gol.

“Sepatutnya dia cuba menutup ruang dan bukan berdiri sahaja untuk menghalang bola. Jika anda mahu menghalang bola itu, badan anda harus berada di posisi yang betul. Bukan berdiri tegak sahaja, Jelas sekali ada perkara tidak kena di Manchester United.”

Tindakan Martinez memberikan lebih ruang kepada Gross di dalam kotak penalti United dan masa yang mencukupi untuk menewaskan pemain pertahanan itu sebelum melepaskan percubaan.

Pemain pertahanan 25 tahun itu juga gagal menghalang hantaran lintang Simon Adringa yang berjaya menemui Danny Welbeck di dalam kotak penalti – yang membenarkan The Seagulls menjaringkan gol pertama perlawanan.

BACA:  Luke Shaw Mengaku Man United Tidak Cukup Kuat Tapi Yakin Mampu Menang UCL