Bintang United Ini Teruk Dihentam Peminat Kerana Pamer Aksi Sendu Bertemu Aston Villa

Bintang Manchester United, Marcus Rashford teruk dihentam oleh para penyokong sendiri kerana beliau dianggap tak bersemangat ketika beraksi bertemu Aston Villa awal pagi tadi.

Beliau dikatakan terlalu lemau dan nampak langsung tak bersemangat ketika aksi kemenangan 1-0 Man Utd menewaskan Aston Villa di Old Trafford dalam saingan FA Cup itu.

United berjaya melayakan diri ke pusingan keempat saingan FA Cup selepas menewaskan Aston Villa, dengan Scott McTominay muncul sebagai penjaring gol kemenangan mereka dalam perlawanan ini.

Scott McTominay cemerlang menanduk masuk bola hantaran cantik dari Fred pada minit ke-8 dalam perlawanan ini, seterusnya ia menjadi gol kemenangan untuk mereka.

Villa boleh dikatakan lebih dominan dalam perlawanan ini dengan dua gol jaringan mereka dinafikan oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver.

Walau sudah berjaya mencatatkan kemenangan dan melayakan diri ke pusingan seterusnya, namun para penyokong tetap tidak gembira melihat persembahan skuad setan merah.

Persembahan Rashford antara yang paling mencuri tumpuan dengan beliau teruk dihentam oleh peminat-peminat di media sosial.

“Saya berani katakan ada sesuatu yang berlaku pada Marcus Rashford pada musim ini. Saya macam tak percaya lihat persembahan dia sekarang begitu teruk.”

“Saya tak rasa Rashford dalam keadaan baik-baik sahaja, saya jamin ini bukan hal dalam padang sahaja. Tentu ada masalah lain juga di luar padang. Dia tak nampak gembira langsung.”

“Dia macam tak ada sepenuhnya dalam padang, apa sebenarnya yang berlaku pada dia? Kalau dia terus macam ini karier bola sepak dia akan hancur.”

“Terlalu teruk persembahan dia, ada peluang keemasan pun dia macam malas nak bergerak, saya dah penat nak mengeluh tentang persembahan dia.”

“Kelab perlu lakukan sesuatu, Rashford merupakan pemain harapan kita, jangan biarkan dia terus hanyut.”

Penyampai BBC, Simon Stone yang turut menonton perlawanan tersebut di Old Trafford, telah menyatakan bahawa:

“Ada beberapa penyokong Manchester United yang rapat dengan saya, mereka langsung tak gembira dengan Marcus Rashford.”

“Pemain kebangsaan England itu bergelut dengan masalah prestasi dia sekarang dan tidak ada yang nampak memihak kepada dia pada ketika ini.”

Rashford sememangnya agak bergelut sepanjang perlawanan tersebut, dengan beliau turut mempersia-siakan kesempatan emas untuk menjaringkan gol pada aksi babak kedua permainan.

Beliau gagal mendapatkan bola muntah dalam kotak kerana beliau langsung tak berusaha untuk mendapatkan bola itu dan kerana itulah beliau teruk dihentam oleh para peminat.

“Jika Rashford menghulurkan kaki dia, saya rasa dia boleh jaringkan gol dengan tap-in sahaja. Tapi nampaknya dia tak mahu menjaringkan gol yang terlalu mudah.”

Jelas penyampai BBC, Dion Dublin.

“Jika dia kekalkan momentum larian dia, dia boleh gunakan side-foot. Dia nampak dah tawar hati, saya sendiri rasa saya dah lama tak nampak dia tersenyum.”

Rashford telah dikeluarkan pada hujung-hujung minit permainan dan ketika berjalan keluar, beliau mendapat sokongan dari para penyokong di Old Trafford.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya mampu menjaringkan tiga gol sahaja dari 14 penampilan dalam saingan Premier League musim ini, dan kemerosotan prestasi beliau telah menjadi topik perbincangan hangat para peminat dan pundit sejak kebelakangan ini.

“Saya faham Marcus Rashford ada masalah kecederaan dan dia bergelut untuk dapatkan semula keyakinan dia.”

Jelas Alan Shearer kepada BBC.

“Dia sudah lakukan tugas yang sungguh menakjubkan di luar padang, tapi saya bimbang hal itu semua menyebabkan dia hilang minat dan tidak lagi menikmati karier bola sepak dia.”

Minggu lalu, Rashford didakwa merajuk dan beliau juga dianggap salah seorang dari 17 pemain yang tidak gembira di Old Trafford pada ketika ini.

Beliau walau bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan di laman twitter miliknya, untuk menafikan segala dakwaan tersebut.

“Saya ada baca sesuatu baru-baru ini yang menyatakan saya agak diam di sini, tapi apa lagi boleh saya katakan untuk buat keadaan lebih baik melainkan dengan cara membuktikannya di atas padang?”

“Kita semua turut merasakan kekecewaan dengan persembahan kami sejak kebelakangan ini dan kami lebih kecewa dengan berita-berita yang mempersoalkan komitmen kami bukan hanya kepada pengurus, jurulatih, tetapi kepada kelab.”

“Saya sangat menghormati semuanya dan saya melihat ke hadapan untuk memperbaiki permainan saya di bawah staff di Manchester United.”

“Saya tak merajuk, saya bukan tak gembira, saya kecewa dengan persembahan saya sendiri. Sudah tentu ia mengecewakan saya.”

“Saya adalah pengkritik terbesar diri saya sendiri. Ia jelas satu permulaan yang sangat sukar tapi saya berazam untuk membuktikan saya bernilai.”

“Dedikasi dan keinginan saya untuk berada di sini tidak sepatutnya dipersoalkan. Saya sangat sayangkan kelab ini.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2022/23: Manchester United 3 Leicester 0