Bojan Hodak Letak Jawatan Ketua Jurulatih KL City Untuk Sertai Persib Bandung

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City) mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan tidak meneruskan perjuangan bersama skuad warga kota selepas ini.

Keputusan tersebut diumumkan oleh KL City melalui satu sidang media khas yang diadakan sebentar sahaja tadi.

Jurulatih dari Croatia itu dianggap sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya di Liga Malaysia.

Walaupun mengemudi sebuah pasukan yang dianggap memiliki bajet kecil, Hodak berjaya membimbing KL City mara ke tiga final di tiga pertandingan berbeza sejak tiga tahun lalu.

Pada 2021, Hodak bersama KL City mengejutkan JDT untuk menjadi juara Piala Malaysia, sebelum mara ke perlawanan akhir Piala AFC sebelum tewas kepada Al Seeb.

Pada hujung minggu lalu, Kl City sekali lagi beraksi di final di pertandingan Piala FA namun tewas 2-0 kepada JDT.

Menurut ciapan daripada wartawan Astro Arena Zulhelmi Zainal Azam, Hodak telah menerima tawaran daripada sebuah kelab dari luar negara.

Sejurus selepas mengesahkan peletakan jawatan tersebut, Hodak kemudiannya diumumkan oleh Persib Bandung sebagai pengendali baharu kelab Liga 1 Indonesia.

Hodak sebenarnya bukan nama yang asing di dalam kancah bola sepak tempatan apabila pernah membawa Kelantan meraih kejuaraan treble pada tahun 2012 selain berjaya membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super 2014.

Tiba di Liga Malaysia bersama UPB-My Team pada 2006, Hodak turut pernah melatih pasukan Kelantan, dan Penang FA selain skuad Bawah-19 tahun negara.

Bersama Kelantan, Hodak pernah membawa pasukan itu muncul juara Liga Super pada musim 2012, selain kejuaraan Piala FA juga pada 2012 dan 2013.

Di pertandingan Piala Malaysia Kelantan di bawah kendalian jurulatih berusia 52 tahun itu pernah muncul juara pada 2012 dan naib juara pada musim berikutnya.

BACA:  Selangor Umpama Real Madrid Di Malaysia