Bolos 12 Gol Dari 4 Perlawanan, Klopp Mulai Persoal Keutuhan Benteng Kelas Dunia Liverpool

Jurgen Klopp menegaskan bahagian pertahanan Liverpool kurang memberikan perhatian atau fokus sehingga menyebabkan kelab Merseyside itu tewas 3-4 kepada Bayern Munich pada Rabu lalu.

The Reds setakat ini telah dibolosi 12 gol daripada empat perlawanan dan ia adalah angka yang mulai merisaukan pengendali dari Jerman itu.

Masalah di bahagian belakang Liverpool sememangnya sudah jelas sebelum ini apabila pasukan itu dibolosi sebanyak 47 kali daripada 38 perlawanan Premier League pada musim lalu.

Dan Klopp mengakui perkara itu tidak boleh berterusan sekiranya Liverpool berhasrat untuk bergelar pencabar kejuaraan pada musim akan datang.

Sebelum perlawanan menentang Bayern, Klopp sudah pun mengakui kerapuhan benteng pertahanan Liverpool apabila berkata: “Saya cuba untuk menjelaskan sejelas-jelasnya bahawa bahagian pertahanan harus berada di tahap yang jauh lebih tinggi berbanding apa yang ditampilkan pada musim lalu.

“Kami perlu memperbaiki perkara itu secepat mungkin atau kami akan berhadapan masalah besar.”

Peningkatan yang diharapkan Klopp bagaimanapun gagal diterjemahkan dalam perlawanan menentang Bayern.

Malah jaguh Bundesliga Jerman itu berjaya memanfaatkan beberapa kesilapan di benteng pertahanan Liverpool untuk menjaringkan beberapa gol.

“Gol pertama yang kami lepaskan, Trent [Alexander-Arnold] dan Joel [Matip] sepatutnya memberikan reaksi yang lebih baik.

“Hantaran itu pada pendapat saya memang tidak dapat dielakkan. Kita tidak boleh sentiasa berada di situ untuk menghalang setiap bola. Adakalanya bola akan terus dihantar melayang untuk menewaskan garis akhir pertahanan.

“Tetapi dalam situasi ia kelihatan seperti ada keraguan pada kedua-dua pemain. Kedua-duanya berdiri santai.

“Sepatutnya mereka lebih peka kepada intensiti perlawanan dan merasakannya, sepertimana seorang manusia.

“Babak kedua kejadian sama juga berlaku di antara Joey [Gomez] dan Ibrahima [Konate]. Ini bukan mengenai kepantasan atau perkara berkaitan. Tetapi ia mengenai fokus – nilai situasi.

“Di dalam perlawanan bola sepak tidak ada rehat. Apabila anda mulai kepenatan, itulah perkara yang paling anda benci. Tiada rehat.

“Selain daripada itu, kebanyakkan persembahan secara individu adalah baik. Ia agak menggalakkan, amat positif, dan ada juga ruang yang perlu diperbaiki. Itu sahaja,” tambah Klopp lagi.

BACA:  Carragher: Salah Adalah Jelmaan Ronaldo, Bukan Messi