Carragher Beri Amaran Kepada Rice Dan Bellingham Supaya Larikan Diri Dari Manchester United

Legenda Liverpool, Jamie Carragher memberi amaran kepada Jude Bellingham dan Declan Rice supaya menjauhkan diri dari Manchester United andai mereka mahu menyelamatkan karier mereka.

Manchester United pada ketika ini sedang berada pada titik terburuk dalam sejarah kelab dengan mereka dianggap sebagai pasukan belasahan sahaja dalam saingan Premier League.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu berdepan dua kekalahan memalukan dari dua perlawanan terakhir mereka dalam saingan liga.

Mereka kemarin telah dibelasah oleh Liverpool dengan keputusan 4-0 di Anfield dan United dalam perlawanan itu benar-benar teruk didominasi oleh anak-anak buah Jurgen Klopp itu.

Semalam, skuad setan merah berdepan satu lagi kekalahan memalukan selepas mereka dibelasah oleh Arsenal dengan keputusan 3-1 di Emirates.

Satu-satunya berita gembira untuk penyokong Manchester United pada minggu ini adalah tentang berita perlantikkan Erik Ten Hag sebagai pengurus kelab bermula pada musim panas nanti.

Sebaik Ten Hag diumumkan sebagai pengurus kelab, terdapat laporan yang menyatakan bahawa beliau bakal melakukan rombakan besar-besaran setibanya beliau ke bumi Old Trafford nanti.

Nama Declan Rice dan Jude Bellingham antara yang disebut-sebut sebagai calon pemain yang mahu ditandatangani oleh pengurus dari Belanda itu.

Walau bagaimanapun, Jamie Carragher tampil menulis di The Telegraph untuk memberi amaran kepada dua bintang England itu supaya melarikan diri dari Manchester United.

“Adalah sangat sukar untuk fikir siapa pemain yang Manchester United tandatangani sejak sembilan tahun lalu berjaya berkembang sebaik mereka tiba di Old Trafford. Bahkan mereka yang datang kebanyakannya semakin teruk.”

“Ketika Harry Maguire, Luke Shaw, Aaron Wan-Bissaka dan Jadon Sancho menyertai Man United, ramai yang merasakan kelab itu sedang berada di landasan yang tepat dengan kehadiran pemain Inggeris muda yang berbakat.”

“Sekarang mereka nampak sangat teruk ketika beraksi di Old Trafford. Jika saya adalah Declan Rice atau Jude Bellingham yang memerhati masalah rakan sepasukan mereka di kem England, saya akan lari sejauh mungkin jika United hubungi saya melainkan kalau saya hanya pentingkan duit.”

Komen Carragher itu keluar selepas Ralf Rangnick sendiri mengakui yang Manchester United berada di tahap yang kritikal pada ketika ini dan mereka perlu lakukan sesuatu untuk bersaing pada musim hadapan.

Keputusan Manchester United melantik Erik Ten Hag sebagai pengurus kelab jelas sekali dianggap sebagai langkah awal mereka untuk melakukan rombakan tersebut.

Enam pemain dikatakan sudah pasti akan meninggalkan kelab kerana kontrak mereka akan tamat pada penghujung musim ini.

Ralf Rangnick turut menyenaraikan enam nama yang mahu beliau lepaskan kerana beliau merasakan kesemua pemain itu tak ada dalam perancangannya.

Manchester United pada ketika ini berada di kedudukan keenam dalam carta saingan Premier League dan sepertinya semakin sukar untuk mereka mengakhiri saingan musim ini dikelompok empat teratas.

Lebih membimbangkan lagi, United juga berpotensi untuk mengakhiri saingan liga musim ini di luar kelompok enam teratas.

Ia bermaksud mereka berkemungkinan tidak akan beraksi di pentas Champions League mahupun Europa League pada musim hadapan.

Walau bagaimanapun juga, hal itu sebenarnya tidak dibimbangkan oleh Ten Hag kerana beliau pada musim hadapan mahu lebih menumpukan perhatiannya untuk membentuk skuad.

Tidak beraksi di kejohanan Eropah akan membantu beliau untuk memiliki lebih banyak masa bersama anak-anak buahnya dan musim berikutnya sudah tentu mereka akan sasarkan untuk beraksi di pentas Champions League.

BACA:  Jamie Carragher Dedah Alasan Mengapa Carrick Ketepikan Ronaldo