Carragher: Manchester United Tidak Lagi Bermain Dalam Ketakutan

Bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher berkata Ole Gunnar Solskjaer telah berjaya membuang rasa takut dalam pasukan Manchester United yang jelas kelihatan dalam perlawanan besar ketika era Jose Mourinho dahulu.

United meneruskan rentetan kemenangan mereka menjadi 6 perlawanan apabila menundukkan Tottenham Hotspurs 1-0 di Wembley Stadium kelmarin. hasil jaringan Marcus Rashford pada penghujung babak pertama.

United sekarang tidak lagi bermain dalam ketakutan

Solksjaer juga perlu berterima kasih kepada David De Gea kerana penjaga gol tersebut mempamerkan antara persembahan terbaiknya untuk menggagalkan percubaan pemain Spurs sepanjang 90 minit permainan.

Selepas melihat persembahan jentera serangan Red Devils ketika menentang Spurs, Carragher percaya Solskjaer telah berjaya membuka ikatan yang membelenggu pemain United ketika era Jose Mourinho.

“Selama 3 hingga 4 tahun melihat pasukan bimbingan Jose Mourinho dalam perlawanan besar, Manchester United kelihatan seperti sebuah pasukan yang takut untuk bersaing dengan pasukan besar yang lain.”

“Mereka kelihatan takut dengan apa yang mampu dilakukan pasukan lawan. Pemain sayap dilihat sering turun ke bawah untuk menjaga larian daripada full back pihak lawan – Berapa banyak kali kita lihat Manchester United bermain dengan 6 pemain di bahagian pertahanan ?”

David De Gea meamainkan peranan penting ketika menumpaskan Spurs

“Ini berlarutan sehingga bertahun lamanya. Saya bercakap dengan Gary Neville mengenai perkara ini dalam musim pertama Mourinho dan Gary sangat yakin ia akan berubah apabila Mourinho mempunyai pemain yang lebih baik dalam pasukannya.”

“Walau bagaimanapun, ia tidak berlaku. Perkara yang paling saya kagumi dari Manchester United di Wembley adalah perasaan takut tersebut sudah pon hilang.”

Sebelum ini banyak pihak yang tidak berapa memandang serius pencapaian Solskjaer memenangi kesemua 5 perlawanan memandangkan kualiti pasukan lawan yang agak rendah.

Namun begitu, segalanya berubah selepas Solskjaer membimbing Setan Merah membenam cabaran Spurs di tempat lawan untuk meraih kemenangan ke-6 berturut-turut sejak mengambil alih jawatan pengurus United bulan lalu.

“Solskjaer telah menjawab soalan dengan taktikal beliau. Banyak yang sedang diperkatakan mengenai Solskjaer sekarang dan semuanya adalah perkara yang positif jika dilihat dari segi permukaan.”

“Namun jika diselidik lebih dalam, sebelum perlawanan Spurs dulu, ada pihak yang mendakwa sesiapa sahaja mampu melakukan kerja tersebut. Itu semua mengarut.”

“Solskjaer telah membuat beberapa keputusan yang besar, meninggalkan Romelu Lukaku, seorang penyerang bernilai £80 juta di bangku simpanan. Apabila Lukaku dimasukkan dari bangku simpanan, pemain tersebut juga berjaya melakukan impak yang baik.”

Solskjaer calon utama pengurus tetap Setan Merah selepas ini?

“Ada orang cakap perlawanan yang United harungi sebelum ini adalah mudah. Tetapi musim lepas dimana United menamatkan musim di tempat ke-2 dalam liga dan mara ke final Piala FA, Mourinho tewas 3 perlawanan di tangan pasukan yang baru sahaja dinaikkan liga.”

“Jadi bukan mudah sebearnya untuk bertemu dengan pasukan seperti ini. Solskjaer berjaya memulakan kariernya dengan sangat cemerlang.”

BACA:  Carragher Hentam Neville Dan Keane Yang Tegar 'Menjilat' Ole