Carragher: Tiada Tekanan Buat Liverpool Untuk Menjuarai Liga Perdana Inggeris

Pengulas sukan tersohor yang juga bekas pemain England & Liverpool, Jamie Carragher mendakwa Liverpool tidak seharusnya berasa tertekan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris kerana ramai pihak menganggap Manchester City akan memenanginya musim ini.

Juara bertahan, Manchester City kembali ke persada Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Fulham 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Craven Cottege semalam.

Carragher beritahu Liverpool supaya jangan tertekan kerana Manchester City dijangka memenangi liga sekali lagi musim ini

Walau bagaimanapun, Liverpool berpeluang untuk merampask kembali tempat teratas sekiranya mereka berjaya meraih 3 mata penuh apabila bertemu Tottenham Hotspurs di tempat sendiri tengah malam nanti.

Liverpool mendahului liga untuk majoriti musim ini namun beberapa keputusan seri yang dicatatkan Liverpool bulan lalu menyebabkan Manchester City kembali bernafas.

Carragher percaya kedudukan Liverpool selaku pasukan yang mengejar pendahulu akan dapat membantu pasukan tersebut dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kini memasuki fasa terakhir.

“Saya rasa tekanan Liverpool untuk memenangi liga sudah sedikit berkurang kerana semua pihak menganggap Manchester City yang akan memenanginya.”

Mampukah Pep Guardiola memenangi Quadruple buat kali pertama dalam sejarah kelab England?

“Situasi dimana Manchester City berada di hadapan sebenarnya bukanlah paling buruk buat Liverpool. Jika anda berada di tempat teratas, anda akan menjadi sasaran untuk ditembak.”

“Terdapat banyak persoalan dilontarkan terhadap Liverpool dan mereka tidak dapat menjawabnya dengan cukup baik. Selama dua atau tiga minggu, mereka mencatatkan banyak keputusan seri.”

“Sejak Manchester City merampas tempat teratas, Liverpool berjaya mencatatkan prestasi yang baik dimana mereka memenangi perlawanan, tetapi mereka harus meneruskannya.”

Selepas menerima kunjungan Spurs di Anfield, Liverpool akan bertandang ke Southampton hujung minggu hadapan disusuli dengan perlawanan sukar di gelanggang sendiri menentang Chelsea.

Carragher menganggap jadual yang bakal ditempuh Liverpool ini sebagai ujian getir untuk bekas pasukannya itu.

Sekiranya Liverpool berjaya memenangi kesemua perlawanan sukar ini, Carragher percaya Manchester City wajib meraih 3 mata penuh apabila mereka bertemu Manchester United di Old Trafford bulan hadapan.

“Saya rasa perebutan liga akan berlangsung dengan sengit sehingga penghujung. Liverpool mempunyai jadual perlawanan yang lebih sukar untuk 2 atau 3 minggu seterusnya.”

Mane satu lebih teruk, Liverpool juara liga atau City menggondol 4 trofi ?

“Sekiranya Liverpool mampu keluar dari jadual ini dalam posisi yang sama seperti sekarang, mereka mampu memaksa Manchester City untuk mencari kemenangan di Old Trafford.”

“Saya tahu peminat Manchester United terdesak untuk melihat Liverpool tidak memenangi liga, tetapi Manchester City berpeluang besar untuk meraih ‘Quadruple’. Pencapaian ini akan mengatasi kejayaan skuad Manchester United 1999 yang berjaya meraih ‘Treble’.”

“Jadi ia akan menjadi dilema yang besar buat Manchester United. Apa yang anda sanggup lihat, Liverpool memenangi liga atau Manchester City meraih ‘Quadruple’ ?”

BACA:  Penyokong City Anggap Pengadil Dan VAR Rompak Kemenangan The Citizens