Casemiro Mahu Bermain Lebih Banyak Dan Bertekad Habiskan Kontrak di Old Trafford

Casemiro mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan di Manchester United dan menegaskan bahawa dia tetap komited untuk menghabiskan kontraknya di Old Trafford.

Pemain-tengah berusia 32 tahun itu membuat penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama tahun ini ketika United tewas 1-0 kepada Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana pada Ahad lepas.

Musim ini Casemiro telah tampil dalam 25 perlawanan dalam semua pertandingan tetapi hanya menghabiskan masa dibangku simpanan sebanyak 12 kali daripada 18 perlawanan terakhir. Dia hanya disenaraikan dalam kesebelasan utama kerana pemain-tengah utama seperti Kobbie Mainoo, Manuel Ugarte dan Toby Collyer mengalami kecederaan, manakala Christian Eriksen pula tidak sihat.

Pemain antarabangsa Brazil dengan 75 caps itu masih mempunyai lebih setahun kontrak di United. Dia merupakan antara pemain dengan gaji tertinggi di kelab itu. United dilaporkan tidak berminat mengaktifkan pilihan setahun dalam kontraknya.

Pemenang 5 kali Liga Juara-Juara itu tidak berpuas hati hanya sekadar duduk di bangku simpanan namun tetap gembira berada di Manchester dan mahu membantu pasukan dalam apa jua cara yang boleh.

“Saya perlu terus bekerja keras dengan penuh hormat dan kesabaran,” katanya dalam wawancara dengan akhbar Sepanyol, AS.

“Sudah tentu saya mahu bermain lebih banyak. Saya tidak kenal mana-mana pemain bola sepak yang tidak mahu bermain dan membantu pasukan. Saya juga mahu membantu kelab dalam situasi ini.”

“Saya menghadapi semua ini dengan penuh hormat kepada rakan sepasukan dan staf kejurulatihan. Dan yang paling penting, saya menghormati United, sebuah kelab yang saya sangat berterima kasih.

Saya masih ada satu setengah tahun dalam kontrak saya dan saya mahu menghabiskannya di Manchester. Saya selesa di sini, begitu juga keluarga saya. Mereka sudah menyesuaikan diri dan kami bercakap dalam bahasa Inggeris.”

“Saya sangat berterima kasih kepada penyokong di Old Trafford dan kelab ini. Saya gembira di peringkat kelab. Gembira di bangku simpanan? Sudah tentu tidak. Itu perkara lain.”

Kekalahan United pada hari Ahad merupakan yang ke-8 dalam 12 perlawanan terakhir mereka, menyebabkan pasukan itu kini berada di tangga ke-15 dalam Liga Perdana.

United akan kembali beraksi menentang Everton di tempat lawan pada Sabtu ini.

BACA:  Rangnick: Kelab Hebat Macam Manchester United Tak Akan Merayu Pemain Untuk Kekal