Chelsea di Bawah Maresca: Perjuangan Menerapkan Gaya

Ketika Chelsea mengumumkan Enzo Maresca sebagai ketua jurulatih baru mereka pada musim panas lalu, perkataan “gaya” menjadi tumpuan utama dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pengarah sukan kelab, Paul Winstanley dan Laurence Stewart.

“Kami gembira mengalu-alukan Enzo ke Chelsea,” kata mereka dalam kenyataan rasmi kelab.

“Dia telah membuktikan dirinya sebagai jurulatih yang cemerlang, mampu memberikan keputusan hebat dengan gaya permainan yang menarik dan dikenali.”

Kenapa Chelsea Memilih Maresca?

Pencapaian Maresca membawa Leicester City menjuarai Championship dan kembali ke Liga Perdana Inggeris memberi kesan besar kepada pengurusan Chelsea. Namun apa yang benar-benar membezakannya daripada calon lain adalah cara dia membina kejayaan itu – dengan corak permainan yang memberi kawalan penuh, seimbang antara mencipta peluang dan bertahan dengan baik.

Gaya permainan ini banyak dipengaruhi oleh Pep Guardiola, yang dianggap sebagai jurulatih paling berpengaruh dalam bola sepak moden. Chelsea percaya bahawa falsafah ini sesuai dengan pemain yang telah mereka beli dan akan dibeli pada masa depan. Mereka yakin gaya ini adalah kunci untuk menjadikan projek besar mereka berjaya dan membawa kelab kembali ke puncak kejayaan.

Namun, selepas 8 bulan di bawah Maresca, Chelsea masih jauh daripada mencapai matlamat itu. Prestasi mereka semakin merosot – hanya 9 perlawanan Liga Perdana Inggeris telah menyebabkan pasukan muda Chelsea jatuh dari tangga ke-2 ke tangga ke-6.

Masalah Chelsea di Bawah Maresca

Tanpa penyerang nombor 9 tulen dalam 2 perlawanan terakhir menentang Brighton, Chelsea kelihatan perlahan, membosankan, kurang tenaga dan tidak berkesan. Penyokong yang hadir di Stadium Amex mungkin mempunyai lebih banyak perkataan untuk menggambarkan situasi ini.

Jika Chelsea terus menunjukkan prestasi hambar dalam perlawanan seterusnya menentang Aston Villa, Maresca mungkin akan berdepan reaksi negatif di Stamford Bridge. Situasi ini mengingatkan kembali kepada era Maurizio Sarri, jurulatih Itali yang cuba menerapkan bola sepak moden di Chelsea.

Kesungguhan Pemilik terhadap Maresca

Sarri dibawa masuk kerana pemilik Chelsea ketika itu, Roman Abramovich mengagumi gaya permainan Guardiola. Namun bagi Abramovich, keputusan perlawanan lebih penting daripada gaya permainan.

Sebaliknya pemilik Chelsea sekarang, Clearlake Capital lebih komited terhadap falsafah permainan Maresca. Mereka bukan sahaja mengambil Maresca sebagai ketua jurulatih tetapi juga melantik Filipe Coelho untuk membangunkan falsafah permainan berasaskan penguasaan bola. Di kelab “adik” mereka, Strasbourg, mereka menggantikan Patrick Vieira dengan Liam Rosenior, jurulatih muda yang terkenal dengan corak permainan moden dan dinamik.

Pendekatan ini juga diterapkan di akademi Chelsea yang kini diketuai oleh Glenn van der Kraan, bekas ketua kejurulatihan muda dari Manchester City.

Maresca: Pertaruhan Besar Chelsea

Jika dibandingkan dengan pelantikan Graham Potter pada 2022, Maresca adalah pertaruhan yang jauh lebih besar dan penting bagi Chelsea. Salah satu penyesalan pengurusan Chelsea ialah memilih Pochettino pada 2023, yang dianggap sebagai keputusan sementara yang melambatkan hala tuju sebenar mereka.

Keyakinan mereka terhadap Maresca begitu tinggi sehingga dia diberikan kontrak 5 tahun dengan pilihan lanjutan 1 tahun lagi. Malah, salah satu sebab utama Chelsea mahu mendapatkan Maresca ialah kerana mereka bimbang Manchester City mungkin akan melantiknya sebagai pengganti Guardiola jika Pep tidak menyambung kontraknya.

Komitmen sebesar ini tidak akan diubah hanya kerana satu siri keputusan buruk. Chelsea mahu Maresca menjadi pemimpin jangka panjangnya dan mereka melihat tempoh 2 musim pertama ini sebagai satu fasa pembangunan. Kajian prestasi seterusnya hanya dijadualkan pada musim panas 2026 dan tiada rancangan untuk mempercepatkan proses itu walaupun terdapat kritikan daripada penyokong.

Tekanan untuk Bangkit

Namun bola sepak tetap bola sepak. Keputusan perlawanan dan prestasi di atas padang akan lebih mempengaruhi masa depan seseorang jurulatih berbanding perancangan jangka panjang. Maresca mungkin berkata bahawa kelayakan ke Liga Juara-Juara bukanlah satu keperluan tetapi ia tetap menjadi sasaran utama Chelsea.

Dalam baki 13 perlawanan musim ini, Chelsea perlu menunjukkan lebih banyak usaha dan keinginan untuk menang. Chelsea tahu proses penyesuaian kepada sistem Maresca akan mengambil masa tetapi mereka masih percaya bahawa skuad ini cukup berbakat untuk bersaing dalam kelompok 4 teratas.

Maresca mungkin perlu berani mengubah taktiknya untuk menghentikan kejatuhan Chelsea dan terus bersaing dengan pasukan seperti Manchester City, Bournemouth dan Newcastle. Kehilangan Nicolas Jackson memberi kesan besar kepada jentera serangan Chelsea dan Maresca perlu mencari jalan lain untuk memastikan pasukan tetap berbahaya di hadapan gol.

Malah, Guardiola sendiri berjaya mendominasi Liga Perdana Inggeris kerana dia bersedia untuk menyesuaikan taktiknya mengikut keadaan. Liga Perdana Inggeris sentiasa berubah, seperti yang dikatakan oleh Guardiola dalam satu temu bual baru-baru ini:

“Bola sepak moden ialah cara Bournemouth bermain, cara Newcastle bermain, cara Brighton bermain. Liverpool juga begitu. Ia bukan hanya tentang kawalan posisi – anda perlu menaikkan tempo permainan ke tahap luar biasa.”

Dalam 9 perlawanan terakhir, Chelsea kehilangan rentak. Namun gaya permainan yang ingin diterapkan oleh Maresca adalah sesuatu yang mereka mahu kuasai. Persoalannya, bolehkah Maresca menyesuaikan diri sebelum semuanya menjadi lebih teruk?

BACA:  Premier League 2020/21: Chelsea 4-0 Crystal Palace