Chelsea Kalah Lagi di Brighton: Prestasi Buruk di Liga Perdana, Maresca Makin tertekan

Untuk kali ke-2 dalam tempoh kurang seminggu Chelsea sekali lagi berkunjung ke Brighton & Hove Albion dan pulang dengan tangan kosong. Selepas tersingkir dari Piala FA minggu lalu, mereka kini tewas pula dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Sebelum 2 perlawanan ini, Brighton dibelasah 7-0 oleh Nottingham Forest, manakala Chelsea mencatat kemenangan penting ke atas West Ham United. Namun selepas kekalahan ini, pasukan bimbingan Enzo Maresca pasti lega kerana tidak perlu lagi beraksi di Stadium Amex pada musim ini.

Chelsea bermula dengan baik tetapi kehilangan Noni Madueke kerana kecederaan. Tidak lama selepas itu pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma mencuri tumpuan dengan jaringan cantik yang meletakkan tuan rumah di hadapan.

Mitoma mengawal hantaran jauh dari Bart Verbruggen dengan kemas, mengatasi kawalan pertahanan Chelsea dan melepaskan rembatan melengkung untuk menewaskan Filip Jorgensen.

Brighton menggandakan kelebihan melalui Yankuba Minteh. Dia menyudahkan peluang dengan tenang selepas gerakan kemas daripada Georginio Rutter.

Chelsea tidak pernah mengancam untuk bangkit, malah terus ketinggalan apabila Minteh sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-63. Dia mengambil kesempatan daripada kelemahan pertahanan pelawat untuk masuk dari sebelah kanan dan melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol.

Chelsea kekal di tangga ke-4 liga tetapi kekalahan ini boleh menyebabkan 3 pasukan lain memintas mereka selepas perlawanan hujung minggu ini selesai. Sementara itu, Brighton naik ke tangga ke-8 dengan hanya 6 mata di belakang Chelsea.


Kekalahan Yang Merugikan Untuk Maresca

Jika Maresca berasakan kekalahan kepada Brighton dalam Piala FA adalah teruk, kekalahan dalam liga kali ini jauh lebih menyakitkan.

Dia mempunyai hampir seminggu penuh untuk menyiapkan pasukan namun hasilnya tetap mengecewakan. Memang benar Chelsea kehilangan beberapa pemain utama terutamanya di bahagian serangan tetapi jika pun Nicolas Jackson masih cergas, dia sedang melalui tempoh kemarau jaringan sebelum mengalami kecederaan hamstring ketika menentang West Ham.

Maresca menambah tekanan ke atas dirinya sendiri apabila berkata selepas kekalahan di Piala FA, bahawa tersingkir daripada kejohanan itu boleh menjadi satu kelebihan untuk kempen liga mereka. Namun berdasarkan prestasi ini, sukar untuk melihat bagaimana kenyataan itu boleh menjadi realiti.

Chelsea tidak memberikan ancaman yang serius dan pertahanan mereka pula kucar-kacir. Mereka melepaskan 3 gol seperti pasukan tercorot, bukan pasukan yang menduduki tempat ke-4 liga.

Brighton membiarkan Chelsea menguasai bola tetapi memastikan mereka sukar mencipta peluang berbahaya. Brighton lebih pantas, lebih agresif dan akhirnya layak untuk menang.

Maresca kelihatan kecewa sepanjang perlawanan. Dia beberapa kali mengangkat tangan sambil marah-marah. Chelsea kini gagal menang dalam 5 perlawanan liga berturut-turut di tempat lawan (6 dalam semua pertandingan), Maresca nampaknya buntu mencari penyelesaian.

Nyanyian penyokong Brighton, Bolehkah kami bermain menentang kamu setiap minggu?”, cukup untuk menggambarkan situasi ini.


Masalah Kecederaan Chelsea Berterusan

Kemerosotan prestasi Chelsea kebetulan berlaku serentak dengan kecederaan beberapa pemain utamanya dan kini Madueke pula berada dalam senarai terbaru.

Chelsea sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik. Madueke lebih berbahaya di bahagian kanan berbanding Pedro Neto ketika kekalahan dalam Piala FA.

Ketika kedudukan masih 0-0, Madueke berjaya melepaskan diri dan menghantar bola kepada Cole Palmer untuk melakukan percubaan. Malangnya sepakan Palmer jauh tersasar dan insiden lebih buruk berlaku – Madueke mengalami kecederaan hamstring dan terpaksa dikeluarkan.

Ketiadaan Madueke memaksa Maresca mengubah taktikal. Neto beralih ke sayap kanan manakala Jadon Sancho dimasukkan di sebelah kiri. Selepas itu, Brighton lebih mudah mengawal bahaya dari bahagian sayap Chelsea.

Chelsea sudah pun kehilangan Wesley Fofana, Romeo Lavia, Benoit Badiashile, Jackson dan Marc Guiu. Kesemua pemain ini akan tersisih sehingga April. Dan kini Madueke mungkin akan berehat dalam tempoh yang sama.

Lebih memburukkan keadaan, Malo Gusto juga terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua selepas mengalami kecederaan di bahagian pinggul.


Bagaimana Brighton Menyukarkan Chelsea

Brighton menggunakan taktik sama seperti dalam perlawanan Piala FA iaitu mengehadkan kekuatan Chelsea di bahagian tengah.

Carlos Baleba dan Jack Hinshelwood dengan bantuan Mitoma dan Rutter menutup ruang hantaran di bahagian tengah padang. Ketiadaan pemain tengah yang mampu membawa bola ke depan memberi kesan besar kepada Chelsea. Palmer beberapa kali cuba turun lebih dalam untuk membantu tetapi ia telah menyebabkan Chelsea kekurangan pemain di kawasan serangan.

Chelsea terpaksa menyerang dari bahagian sayap. Pada awalnya, nampak seolah-olah ia mampu berkesan apabila Christopher Nkunku bergerak ke kanan dan bekerjasama dengan Madueke untuk mencipta 2 peluang kepada Palmer. Namun selepas Mitoma menjaringkan gol pembukaan, Brighton mula mengawal permainan dan mengehadkan peluang Chelsea.

Pada babak kedua, Nkunku cuba bergerak ke sebelah kiri tetapi Brighton sekali lagi berjaya menutup ruang. Kekurangan hantaran tajam di bahagian tengah terus menyukarkan Chelsea. Satu-satunya cubaan mereka untuk melakukan hantaran berani ke tengah dipintas oleh Baleba yang kemudiannya hampir menjaringkan gol.

Chelsea mencatat hampir 70% penguasaan bola, jauh lebih tinggi daripada 58% dalam perlawanan Piala FA. Tetapi sekali lagi gagal mencipta peluang berkualiti. Mereka tidak mencacat satu pun percubaan tepat ke arah gol, sesuatu yang tidak pernah berlaku di bawah Maresca sebelum ini. Malah ia juga tidak berlaku di bawah Mauricio Pochettino musim lalu.


Apa Kata Maresca?

Bercakap kepada Sky Sports, Maresca berkata:

“Rasa kecewa ini meliputi semua aspek perlawanan. Kami rasa bersalah kepada penyokong yang datang ke sini. Dengan 14 perlawanan lagi, kami perlu melakukan jauh lebih baik daripada apa yang kami tunjukkan malam ini.

“Apabila anda tidak mempunyai penyerang nombor 9 yang mampu menjadi ancaman di belakang pertahanan lawan, anda perlu mencari penyelesaian lain. Tetapi ini bukan hanya tentang mencipta peluang.

“Kami berada dalam situasi di mana kami mudah dibolosi dan sukar menjaringkan gol, atas pelbagai sebab.

“Perlawanan terakhir kami dalam Liga Perdana, kami menang. Tetapi ini bukan prestasi yang diharapkan. Kami perlu bersatu dan cuba menamatkan musim dengan sebaik mungkin.

“Saya sentiasa merasai tekanan, bukan hanya sekarang. Tetapi jujurnya, ini adalah prestasi paling teruk sejak saya tiba di sini. Ini bukan masa yang terbaik tetapi kami masih di tempat ke-4.”

BACA:  Piala FA : Chelsea dan West Ham United Hampir Buat Kelakar Menentang Pasukan Bawahan