Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dilaporkan meletakkan tanda harga bernilai £130 juta kepada mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan Eden Hazard.
Menurut sumber Sky Sports lagi, jumlah yang diminta Chelsea agak jauh dari jumlah yang Real Madrid bersedia bayar. Memandangkan kontrak Hazard bersama Chelsea hanya tinggal 12 bulan sahaja lagi.
Real Madrid pula dilaporkan tidak bersedia untuk membayar lebih daripada €100 juta (£88 juta) buat ketika ini mungkin kerana jendela perpindahan masih panjang.
Selain itu, laporan tersebut juga menyebut walaupun kontrak Hazard akan tamat tidak lama lagi, Chelsea tidak berada dalam tekanan untuk menjual Hazard pada musim panas ini.
Segala perbincangan mengenai urusan perpindahan Hazard kini dikendalikan oleh direktor Chelsea, Marina Granovskaia.
Terdahulu, Hazard memberitahu beliau telah membuat keputusan mengenai masa depannya dan mendakwa Chelsea juga tahu mengenai keputusan yang telah dibuatnya itu.
Segala isu berkaitan mengenai masa depan Hazard hanya akan diketahui sebaik sahaja selesai perlawanan final Europa League menentang Arsenal pada hari Rabu nanti.
Ketua Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri bagaimanapun berkata Chelsea mestilah menghormati keputusan yang diambil oleh Hazard mengenai masa depannya.
Hazard yang kini berusia 28 tahun, berpindah ke Stamford Bridge dari Lille pada tahun 2012 dengan yuran perpindahan berjumlah £32 juta. Sejak itu, beliau telah melakukan 351 penampilan dan berjaya menjaringkan 108 gol untuk kelab London tersebut.
Sepanjang 7 musim bersama The Blues, beliau berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebanyak 2 kali, 1 Europa League, 1 Piala Liga dan 1 Piala FA.
Segala perbincangan mengenai perpindahan Hazard mungkin menjadi lebih rumit sekiranya hukuman penggantungan perpindahan Chelsea kekal.
Keadaan menjadi tambah rumit selepas pemain muda, Callum Hudson-Odoi mengalami kecederaan jangka panjang kerana beliau dianggap pemain yang akan menggantikan tempat Hazard jika pemain Belgium itu berpindah.
Hazard secara peribadi dilaporkan telah memberitahu Chelsea mengenai niatnya untuk berhijrah ke Sepanyol dan tidak akan menandatangani kontrak baru walaupun Chelsea berkeras untuk menyimpan beliau musim hadapan.