Ini Sebab Pengurusan Real Madrid Sangat Tidak Puas Hati Dengan Ancelotti

Pengurus Real Madrid dikritik kerana sering bersandarkan kepada pemain veteran seperti Luka Modric dan Toni Kroos pada musim ini.

Dan isu kini menjadi sebab utama rasa tidak puas hati di kalangan pengurusan tertinggi gergasi Sepanyol itu.

Skuad Los Blancos telah melalui perubahan ketara di jentera tengah sejak menjuarai Champions League pada 2022. Casemiro misalnya telah dijual ke Manchester U***** pada musim panas lalu.

Muka baharu seperti Aurelien Tchouameni dibawa masuk dari Monaco. Manakala pemain seperti Eduardo Camavinga dan Federico Valverde mendapat minit perlawanan yang lebih kerap.

Saingan untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama turut menjadi lebih sengit dengan ketibaan Jude Bellingham yang sehingga kini telah mencetak 10 gol dan menghasilkan 3 assists daripada 11 perlawanan.

Pemain bertaraf legenda seperti Modric pula semakin kurang mendapat minit permainan sejak beberapa musim lalu, namun kini semakin vokal mengenai kekecewaannya sejak beberapa bulan lalu.

Bintang tengah dari Croatia itu turut tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan Santiago Bernabeu pada jendela perpindahan Januari dengan dan khabar angin turut melaporkan pemain itu berkemungkinan akan menyertai Lionel Messi di Inter Miami.

Modric dan Kroos bagaimanapun beraksi bersama pada hujung minggu lalu, dengan Kroos dimasukkan pada minit ke-67 perlawanan sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Sevilla yang berkesudahan dengan keputusan 1-1.

Laporan daripada Relevo mengatakan perkara ini menyebabkan pengurusan Real Madrid marah, yang berpendapat kedua-dua pemain tidak lagi mampu menampilkan prestasi yang diharapkan apabila digandingkan bersama.

Sebelum ini gandingan Modric-Kroos turut digunakan oleh Ancelotti dalam kekalahan menentang Atletico Madrid pada awal musim.

Hierarki tertinggi Real Madrid percaya pemain seperti Tchouameni, Camavinga dan Valverde sepatutnya menjadi trio pilihan utama di jentera tengah.

Selain itu pihak pengurusan Real Madrid turut percaya Kroos adalah pemain yang lebih baik berbanding Modric pada peringkat karier kedua-dua pemain pada masa ini.

Kroos membuktikannya apabila menghasilkan assist penting untuk gol penyamaan Dani Carvajal pada perlawanan yang berlangsung Ahad lalu – dan ini menyebabkan kekeliruan mengapakah Ancelotti lebih gemar mendahulukan Modric atau menggandingkan kedua-duanya dengan kerap pada musim ini.

Real Madrid akan kembali beraksi pada Selasa untuk perlawanan peringkat kumpulan menentang Braga selepas memperolehi 6 mata maksimum daripada dua perlawanan terdahulu.

Tidak dapat dipastikan sama ada Kroos atau Modric akan terus dikerah oleh Ancelotti untuk perlawanan ini. Ancelotti cenderung memulakan kedua-dua pemain pada musim ini dan menggunakan Camavinga sebagai bek kiri yang dianggap sebagai pembaziran.

BACA:  Siapa Endrick? Pemain Berusia 16 Tahun Bernilai €72 Juta Yang Dibeli Real Madrid