Siapa Endrick? Pemain Berusia 16 Tahun Bernilai €72 Juta Yang Dibeli Real Madrid

Siapa Endrick? Endrick Felipe Moreira de Sousa pemain bola sepak berusia 16 tahun mengejutakn dunia apabila telah dibeli oleh Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai €72 Juta (RM339.55 juta).

Nama penuh Endrick Felipe Moreira de Sousa dikenali sebagai Endrick Felipe atau secara ringkasnya Endrick merupakan seorang pemain Centre-Forward kelab Brazil, Palmeiras.

Pasukan gergasi Sepanyol,Real Madrid telah mencapai persetujuan untuk menandatangani penyerang Palmeiras Endrick pada 2024, kelab itu mengumumkan pada Khamis (15 Disember 2022).

Endrick yang baru berusia 16 tahun pada Julai akan berpindah ke Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai 2024 merupakan antara bakat muda paling menarik dalam bola sepak Brazil.

Real Madrid telah mengumumkan berita gembira ini melalui laman sesawang rasmi kelab:

“Real Madrid, Palmeiras, Endrick dan keluarganya telah mencapai persetujuan yang membenarkan pemain itu menyertai Real Madrid apabila dia mencapai umur yang sah pada Julai 2024.”

“Sehingga itu, Endrick akan meneruskan latihan dengan Palmeiras.”

“Pemain itu akan pergi ke Madrid dalam beberapa hari akan datang untuk melawat kemudahan kelab kami.”

Presiden Palmeiras, Leila Pereira juga telah mengesahkan perpindahan ini yang merupakan perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak Brazil.

“Kami telah memuktamadkan rundingan terbesar dalam sejarah bola sepak Brazil.”

“Cadangan Real Madrid serasi dengan bakat besar Endrick dan sepadan dengan matlamat sukan dan kewangan yang telah kami tetapkan sejak awal perbincangan.”

Real Madrid berjaya mengatasi tawaran dari pasukan gergasi Eropah termasuklah Barcelona, Paris Saint-Germain dan Chelsea untuk mendapatkan tandatangan Endrick.

Syarat perjanjian antara Real Madrid dan Palmeiras untuk perpindahan ini akan kekal menjadi rahsia sulit dengan laporan menyatakan pemain remaja itu akan menyertai Real Madrid dengan kontrak awal selama tiga tahun.

Kontrak itu disertakan dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun dan nilai €72 Juta (RM339.55 juta) meliputi beberapa perkara temasuklah cukai.

Ini bukanlah kali pertama bakat muda Brazil disambar Los Blancos, beberapa tahun kebelakangan ini mereka telah mensasarkan bakat muda dari Brazil sebagai tunjang masa depan pasukan.

Strategi ini diketuai oleh Ketua Pengesan Bakat kelab, Juni Calafat yang telah berjaya mengikat perjanjian bersama Vinicius Junior pada 2017, Rodrygo pada 2018 dan Reinier Jesus pada 2020.

Vinicius Jr dan Rodrigo masing-masing dibeli pada harga €46 juta dan €45 juta telah menjadi pemain tonggak Real Madrid manakala Reinier Jesus yang bernilai €30 juta telah dipinjamkan ke Borussia Dortmund dan Girona.

Madrid sejak beberapa tahun lalu mencari penyerang muda yang akhirnya boleh menggantikan penyerang bintang Karim Benzema, yang kini berusia 34 tahun.

Endrick membuat penampilan sulungnya untuk pasukan pertama Palmeiras pada Oktober 2022 pada usia 16 tahun dan tidak menunggu lama mempamerkan kehebatan yang membuatkan Real Madrid berani menawarkan kontrak.

Dia menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah kelab apabila dia menjaringkan dua gol ketika menentang Athletico Paranaense pada 25 Oktober.

Endrick Felipe juga telah membantu pasukan itu memenangi gelaran Serie A Brasileirao 2022, dengan menjaringkan tiga gol dalam hanya tujuh penampilan.

“Saya berterima kasih kepada Palmeiras kerana menawarkan saya segala yang diperlukan untuk menjadi seperti sekarang, membantu mencapai impian saya dan menghormati keinginan saya dan keluarga saya,” kata Endrick.

“Sehingga saya menyertai Real Madrid, saya akan terus mendedikasikan diri saya seperti biasa, untuk dapat menawarkan Palmeiras lebih banyak lagi di atas padang.”

Masih terlalu awal untuk memperkatakan kehebatan Endrick kerana dia masih lagi diperingkat pembangunan dan tidak dinafikan lagi seorang pemain yang berpotensi besar.

Vinicius Jr dan Rodrygo kini di landasan terbaik untuk memenuhi potensi mereka menjadi pemain tonggak Real Madrid dan juga Brazil di Piala Dunia.

Endrick merupakan seorang pemain Centre-Forward namun bukanlah seorang pemain nombor 9 yang tradisional dan dilihat mirip kepada cara permainan Sergio Aguero.

BACA:  Jamie Carragher Percaya Chelsea Dan Man City Lebih Bagus Berbanding Real Madrid