Jamie Carragher Percaya Chelsea Dan Man City Lebih Bagus Berbanding Real Madrid

Jamie Carragher percaya finalis Champions League, Real Madrid sebenarnya tidak berada di tahap yang sama seperti Chelsea dan Manchester City.

Los Blancos bakal turun beraksi bertemu Liverpool di Saint-Denis awal pagi nanti dan mereka sudah tentu akan turun dalam usaha mahu memburu gelaran Champions League ke-14 kelab.

Real Madrid jelas sekali telah berdepan laluan yang sangat sukar sebelum layak ke perlawanan akhir dengan mereka cemerlang menyingkirkan Paris Saint Germain, Manchester City dan juara bertahan, Chelsea.

Kesemua tiga kemenangan itu berjaya dicatatkan dengan cukup dramatik dan tidak dinafikan mereka turut dianggap sebagai calon juara kerana magis yang mereka tunjukkan sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, hal itu tidak dilihat oleh Jamie Carragher yang berfikir bahawa kedua-dua kelab dari Inggeris, Chelsea dan Man City sebenarnya lebih bagus berbanding Los Blancos.

“Saya menonton aksi Real Madrid di pentas Champions League musim ini dan mereka lebih banyak mencatatkan kekalahan dalam saingan Champions League berbanding Liverpool dari semua pertandingan.”

Jelas Carragher ketika bercakap di Sky Bets, The Overlap.

“Real Madrid merupakan pasukan yang hebat tapi mereka tak sehebat Man City dan saya tak rasa mereka sehebat seperti Chelsea, walaupun mereka sudah mengalahkan kedua-dua kelab itu.”

“Kamu boleh bercakap tentang semua cara baik dari segi semangat, kemenangan mahupun come back, tapi mereka sebenarnya hanya bernasib baik dalam semua perlawanan itu.”

“Jika kamu menang setiap perlawanan pada minit-minit akhir dan melakukan comeback, jika kamu betul-betul hebat kamu tak akan sentiasa berada di posisi itu.”

Real Madrid berjaya jaringkan gol pada lewat permainan dalam kedua-dua perlawanan dan membawa City ke aksi masa tambahan.

Ketika aksi bertemu City itu, Real Madrid jelas sekali mendominasi aksi pada waktu tambahan masa dan skuad kendalian Carlo Ancelotti itu bijak menyerap tekanan pada ketika itu.

Carragher percaya seandainya Real Madrid benar-benar hebat, mereka tidak mungkin sama sekali akan membenarkan pasukan lain mendahului mereka.

Bekas pemain pertahanan Liverpool itu kemudiannya menyatakan bahawa:

“Man City sepatutnya kalahkan mereka, mereka sepatutnya menang di peringkat separuh akhir (leg pertama) dengan keputusan 6-2 di halaman sendiri dan mereka (Real Madrid) turut ketinggalan 3-0 ketika bermain di halaman sendiri bertemu Chelsea.”

“Sudah tentu, Real boleh menang, ia perlawanan one off. Saya cuma fikir jika City dan Liverpool bermain bertemu Real Madrid dalam aksi one-off, dengan mereka boleh turunkan skuad terbaik dan berada di tahap terbaik, mereka akan menang. Saya sangat yakin.”

Liverpool merupakan pasukan kegemaran untuk menewaskan Real Madrid di pentas perlawanan akhir musim ini atas rekod yang mereka catatkan sepanjang musim ini.

Bercakap tentang perlawanan akhir yang menemukan kedua-dua pasukan ini, Harvey Elliott sebelum ini turut pernah berkongsi kisah menarik tentang bagaimana beliau menolak tawaran bertemu Ramos, kerana mengenangkan insiden yang melibatkan idolanya, Mo Salah.

Bengang lihat Salah dizalimi, Elliott tolak tawaran bertemu Ramos

Harvey Elliott menolak kesempatan untuk bertemu Sergio Ramos ketika Real Madrid berusaha mahu menandatangani beliau kerana mengenangkan apa yang dilakukan oleh bintang Sepanyol itu ke atas Mo Salah.

Elliott telah dipantau oleh banyak kelab di Eropah sebelum beliau akhirnya memilih untuk sertai Liverpool pada tahun 2019 yang lalu.

Real Madrid sebelum ini sangat berminat mahu menandatangani bintang muda England itu dan turut telah membawa beliau masuk ke Santiago Bernabeu.

Elliott turut di bawa bersiar-siar dan menjelajah seluruh stadium dalam usaha Real Madrid mahu menarik minatnya untuk sertai mereka.

Mereka bahkan turut membentangkan karpet merah dan mengatur pertemuan antara Elliott dengan bekas ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos.

Walau bagaimanapun, Elliott pada ketika itu menolak tawaran dari Real Madrid kerana beliau tidak berminat sama sekali untuk bertemu Sergio Ramos.

Beliau terkesan dengan tindakan Ramos yang mengasari Mohamed Salah ketika aksi perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2018.

“Ada sesi jelajah di Bernabeu dan padang latihan mereka kerana mereka cuba meyakinkan pemain muda yang beraksi dalam saingan Premier League untuk beraksi di Sepanyol.”

Menurut kenyataan yang disiarkan semula oleh The Athletic.

“Ketika mereka sampai ke bahagian jersi Sergio Ramos, ia tergantung di dinding, pegawai dari Real tawarkan macam-macam termasuk mahu mengatur pertemuan antara kami dengan ketua pasukan paling lama kelab.”

“Tidak, saya tak kisah, terima kasih, saya tak suka dia selepas apa dia lakukan ke atas Mo Salah.”

Jelas sekali Mo Salah sampai menangis terpaksa keluar meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan bahu selepas dikasari oleh Sergio Ramos.

Elliott tidak lama selepas itu memilih untuk menandatangani kontrak bersama Liverpool dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.

Beliau turut mengesahkan yang Mo Salah merupakan antara pengaruh mengapa beliau ke Anfield dan beliau turut mengidolakan bintang Mesir itu.

“King, itu lah apa saya boleh katakan.”

Jelas Elliott kepada Liverpool Echo.

“Hanya kerana gaya permainan dia dan siapa dia di dalam mahupun luar padang. Diri saya sendiri banyak mengikuti dia di posisi saya, saya sangat-sangat mengidolakan dia.”

“Untuk turun berdepan dia ketika sesi latihan, saya banyak belajar dari dia. Bahkan di gym juga, dia selalu suruh saya angkat beban lagi berat, paksa diri saya lagi. Untuk dapat dia di sini dan di sekeliling kami pemain muda, dia memang bawa pengaruh yang besar.”

Elliott sepanjang musim ini telah membuat 12 penampilan bersama skuad Liverpool dan beliau turut berjaya menjaringkan satu gol sepanjang tempoh tersebut.

Beliau menderita kecederaan yant agak parah ketika aksi bertemu Leeds United pada September lalu dan ia menyebabkan beliau terpaksa diketepikan selama hampir tiga bulan.

Ramos sementara itu kini sudah beraksi bersama Paris Saint Germain dan tidak akan membuat sebarang penampilan ketika aksi di pentas perlawanan akhir saingan Champions League musim ini.

Liverpool akan turun bertemu Real Madrid dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League, dan Mo Salah sendiri menganggap ia sebagai misi membalas dendam.

Real Madrid sudah mengesahkan gelaran liga mereka musim ini dan tentunya Carlo Ancelotti mahu mengakhiri saingan musim ini dengan menjulang gelaran Champions League.

Jurgen Klopp sementara itu terlepas kesempatan untuk menjulang gelaran Premier League selepas Manchester City berjaya melakukan comeback cukup dramatik bertemu Aston Villa minggu lalu.

Liverpool memburu gelaran quadruple selepas berjaya memenangi dua Piala sebelum ini, namun kerana gagal memenangi gelaran liga, maka mereka kini memburu gelaran treble dan mahu menjulang gelaran Champions League.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Saya Sayang Dia"- Carragher Hamburkan Pujian Menggunung Kepada Bintang Liverpool