Chelsea vs Watford Dihentikan Kerana Ada Penyokong Memerlukan Bantuan Perubatan

Perlawanan Premier League antara Chelsea dan Watford terpaksa dihentikan dan ditangguhkan kerana ada penyokong di Vicarage Road mengalami kecemasan dan memerlukan bantuan perubatan.

Pengadil segera menghentikan perlawanan pada minit ke-13 dan pemain kembali ke terowong bilik persalinan menantikan situasi tersebut selesai dan penyokong itu selamat.

Ketika perlawanan dihentikan oleh pengadil perlawanan, David Coote kedudukan masih lagi terikat tanpa sebarang jaringan.

Penyokong tersebut telah dilaporkan mengalami serangan jantung dan pasukan perubatan Chelsea dan juga Watford berkejar ke tempat duduk penonton untuk memberikan rawatan awal.

Rawatan perubatan kecemasan itu dilaporkan diperlukan di Graham Taylor Stand selepas penyokong yang lain memberitahu petugas dan juga penjaga garisan.

Amazon Prime telah mengesahkan bahawa penyokong tersebut telah stabil dan telah dibawa ke Hospital Besar Watford untuk menerima rawatan lanjut.

Selepas hampir setengah jam, para pemain Chelsea dan juga Watford kembali ke padang untuk memanaskan badan dan perlawanan akan berlangsung semula.

Laman Twitter rasmi Watford telah merakamkan ucapan terima kasih kepada staf perubatan, pemain dan penonton atas tindakan pantas mereka yang telah menyelamatkan nyawa.

Perlawanan kembali bersambung.

Newcastle vs Spurs Dihentikan Kerana Penonton Diberikan Rawatan Kecemasan

Situasi yang sama pernah terjadi pada bulan oktober yang lalu dalam perlawanan antara Newcastle United menentang Tottenham Hotspur yang berlangsung di St James’ Park.

Perlawanan terpaksa dihentikan kerana ada seorang penonton yang terpaksa diberikan rawatan kecemasan ditempat duduk penonton.

Perlawanan terus dihentikan ketika perlawanan sudah menghampiri rehat separuh masa pertama apabila pengadil, Andre Marriner perlawanan meminta pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang.

Ketika perlawanan berlangsung tiada yang menyedari situasi yang menimpa penonton tersebut, namun pemain Tottenham Hotspur yang menyedarinya terus memberitahu pengadil perlawanan.

Pada ketika itu Sergio Reguilon yang mengesan sesuatu yang serius terjadi terus memberitahu Andre Marriner untuk membuat keputusan segera dan perlawanan terus dihentikan.

Rakan sepasukan Sergio Reguilon, Eric Dier telah berlari untuk mendapatkan defibrillator yang berada diseberang padang.

Alat AED ataupun Automated External Defibrillator mempunyai fungsi sebagai alat yang digunakan untuk menyelamatkan pesakit yang diserang sakit jantung secara-tiba-tiba di tempat awam.

Tindakan pantas Sergio Reguilon dan Eric Dier yang segera bertindak bagi menyelamatkan nyawa penyokong itu mendapat pujian ramai.

Penonton tersebut dilaporkan mengalami serangan jantung dan situasi semasa keadaan penyokong tersebut masih belum diketahui. Semoga baik-baik saja.

Newcastle United melalui laman media rasmi mereka telah mengumumkan bahawa peminat yang memerlukan bantuan perubatan itu telah berada dalam keadaan stabil dan dalam perjalanan ke hospital.

“Penyokong yang memerlukan bantuan perubatan segera telah stabil dan dalam perjalanan ke hospital.”

Pemain left-back Tottenham Hotspur, Sergio Reguilon mendedahkan yang beliau memberitahu pengadil perlawanan supaya menghentikan permainan kerana ada penyokong yang memerlukan bantuan kecemasan.

Sergio Reguilonsegera memberitahu pengadil perlawanan, Andre Marriner tentang insiden tersebut dengan Spurs pada ketika itu sedang bersedia untuk mengambil sepakan penjuru.

“Kami dengar penyokong menjerit.”

Jelas Reguilon kepada Sky Sports.

“Saya nampak seorang lelaki terbaring dan raya rasa sangat takut ketika itu. Saya terus pergi ke arah pengadil dan kata pada dia, ‘kita perlu hentikan permainan, kita tak boleh terus bermain dalam keadaan seperti ini’.

“Sekarang saya rasa dia sudah sembuh bukan? Itu lebih penting dari segala hal yang lain.”

Individu yang dikejarkan ke hospital itu sudah kembali sedar dan kini sudah berada dalam keadaan stabil.

BACA:  Azpilicueta: Piala FA Tidak Cukup Untuk Kelab Sebesar Chelsea