Mac Allister Nutmeg Jorginho Dengan Ketenangan Yang Sungguh Menakjubkan

Calon pemenang anugerah Ballon D’or 2021, Jorginho telah diaibkan oleh Alexis Mac Allister ketika aksi terikat 1-1 Chelsea bertemu Brighton di American Express Community Stadium awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan telah dipertemukan dalam aksi saingan Premier League awal pagi tadi dan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Chelsea turun dengan misi mahu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini, selepas mereka pada minggu lalu ditewaskan oleh Manchester City.

Termasuk aksi bertemu Brighton, Chelsea setakat ini sudah empat kali keciciran mata dari empat perlawanan terakhir mereka dalam saingan Premier League.

Bermula dengan dua keputusan seri bertemu Brighton dan Liverpool di Stamford Bridge, Chelsea kemudiannya tewas kepada Manchester City sebelum sekali lagi mencatatkan keputusan seri hari ini.

Ia bukanlah pencapaian yang baik untuk skuad kendalian Thomas Tuchel itu apa lagi kerana mereka pada ketika ini merupakan pasukan yang sedang bersaing untuk merebut kejuaraan liga.

Chelsea terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-28 permainan menerusi Hakim Ziyech yang melepaskan rembatan padu menewaskan Robert Sanchez.

Ia jelas sekali merupakan gol yang sungguh cantik dan luar biasa menakjubkan dari Hakim Ziyech namun agak mengejutkan untuk melihat beliau langsung tidak meraikan gol tersebut.

Brighton berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 permainan menerusi Adam Webster yang menanduk padu bola hantaran cantik dari Mac Allister.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dengan kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan keputusan seri dan berkongsi satu mata.

Jorginho antara pemain yang tidak berprestasi dalam perlawanan ini dengan beliau terlibat dengan beberapa insiden yang agak mengaibkan.

Pertama beliau terlibat dengan insiden memalukan dan hampir sahaja menyebabkan gawang gol Chelsea dibolosi lawan.

Beliau ketika itu sedang cuba untuk menghalang Adam Webster yang sedang membawa bola untuk masuk ke kotak penalti Chelsea.

Namun berbanding menghadang pemain lawan, beliau memilih untuk membuat tackle yang sia-sia dan tindakan beliau itu jelas sekali tak disenangi oleh para peminat.

Beliau menunggu Webster menghampirinya dan sebaik bintang Brighton itu melepasinya, barulah beliau melakukan slide tackle yang langsung tidak mengenai apa-apa.

Mujur saja Brighton tidak mendapatkan apa-apa dari percubaan itu, namun jelas sekali ia merupakan peluang yang baik untuk mereka memperoleh gol.

Lebih mengaibkan lagi, Jorginho turut kena nutmeg dengan Mac Allister dalam perlawanan ini, dengan beliau jelas sekali tidak mampu untuk berbuat apa-apa ketika dirinya diaibkan oleh bintang Brighton itu.

Mac Allister ketika itu sedang dikejar oleh N’Golo Kante, dengan Jorginho kemudiannya cuba memintas beliau dari arah hadapan.

Mac Allister kemudiannya tenang melorongkan bola di celah kang-kang Jorginho kemudian mengawal semula bola itu dengan sangat tenang.

Para peminat sangat tertarik melihat ketenangan Mac Allister melepasi Jorginho dengan melakukan nutmeg dan turut menunjukkan kualiti kawalan bola yang sungguh menakjubkan.

Ia jelas sekali sesuatu yang sangat mengaibkan dan boleh dikatakan tidak ada mana-mana pemain yang sanggup melihat maruah mereka dicalarkan dengan cara seperti itu.

Keciciran mata demi mata menyebabkan mereka semakin jauh tercicir dengan Chelsea kini berada di kedudukan ketiga, 12 mata di belakang Man City yang masih ada kelebihan satu perlawanan belum dimainkan.

The Blues juga pada ketika ini satu mata di belakang Liverpool, namun skuad kendalian Jurgen Klopp itu mempunyai kelebihan dua perlawanan yang masih belum dimainkan.

BACA:  Kerajaan Luluskan Penjualan Chelsea RM23.42 Bilion Kepada Todd Boehly