Mudryk Cabar Penyokong Chelsea Bersemuka Satu Lawan Satu Selepas Dikritik

Mykhaylo Mudryk mencabar seorang penyokong Chelsea yang lantang mengkritiknya di media sosial untuk tampil dan bersemuka dengannya.

Pada masa ini penyokong Chelsea diakui sebagai penyokong paling merana kerana prestasi buruk pasukan itu yang berterusan dan tiada penghujungnya.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino kini tewas dengan kaedah memalukan dalam dua perlawanan terakhir menentang Liverpool dan kemudian Wolves di mana mereka dibolosi empat gol dalam setiap perlawanan.

Penyokong The Blues yang kecewa mendesak pemain bermain lebih bersungguh untuk mengeluarkan mereka daripada kesengsaraan. Salah seorang pemain yang dituding jari adalah Mykhaylo Mudryk yang dibawa dengan nilai $75 juta daripada Shakhtar.

Pemain berasal dari Ukraine itu bagaimanapun tidak menerima kritikan itu dengan tenang. Apatah lagi selepas dia menerima mesej peribadi terus kepadanya melalui media sosial.

“Lupakah anda bagaimana anda bermain? Anda tidak cukup bagus. Perlu ada perubahan. Mungkin anda perlu lebih banyak berlatih situasi 1 vs 1. Setiap kali anda bermain, ia seperti pasukan ini kehilangan seorang pemain,” tulis penyokong itu.

Geram dengan mesej yang dihantar, Mudryk kemudiannya membalas: “Marilah lawan satu dengan satu dengan pertaruhan £10,000,” jawab pemain sayap itu.

Mesej geram Mudryk dijawab secara sarkastik oleh penyokong itu: “Bro.. pada masa sekarang aku sanggup bayar kau duit setiap kali kau skor.”

“Kau pandai ke main bolo?” tanya Mudryk lagi.

Enggan melayan karenah pemain itu yang semakin mengarut, penyokong itu kemudiannya merayu agar Mudryk tumpukan fokus kepada perlawanan menentang Everton selepas ini.

Sepanjang musim ini Mudryk hanya menjaringkan 4 gol daripada 25 perlawanan.

Chelsea semakin menghampiri zon penyingkiran dan hanya dibezakan oleh 12 mata berbanding Everton yang berada di kedudukan ke-18.

BACA:  Reaksi Alejandro Garnacho Saat Tahu MU Beri Jersi No.7 Kepada Mount