EPL: Dua Gol McTominay Bantu Man Utd Tewaskan Chelsea Di Old Trafford

Buat kali kedua musim ini, Scott McTominay menjaringkan dua gol di Old Trafford untuk memberikan kemenangan penting buat Manchester United sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi Erik ten Hag.

Jaringan pemain tengah antarabangsa Scotland itu mungkin tidak mendebarkan sebagaimana jaringan minit akhir yang dilakukannya ketika menentang Brentford pada Oktober lalu.

Namun dalam perlawanan yang menyaksikan tuan rumah mensia-siakan deretan peluang termasuk sepakan penalti Bruno Fernandes yang gagal disempurnakan – 28 percubaan oleh United sepanjang perlawanan – sentuhan McTominay amat penting dan dialu-alukan.

Jaringan pertama oleh McTominay lebih kepada percubaan berdasarkan naluri daripada jarak 11 meter, apabila pemain itu pantas merembat masuk bola muntah hasil tandukan awal Harry Maguire yang disekat pemain pertahanan lawan.

Chelsea berjaya menayaman kedudukan sebelum tamat babak pertama perlawanan melalui Cole Palmer, namum McTominay sekali lagi mencuri tumpuan menyempurnakan hantaran lintang Alejandro Garnacho di near post ketika perlawanan berbaki 21 minit untuk ditamatkan.

McTominay sepatutnya mampu menghasilkan hatrik pertama dalam kariernya selepas itu namun peluang yang dihadiahkan oleh Antony disia-siakan.

Akhirnya ia tidak penting selepas United berjaya bertahan daripada tekanan bertali arus oleh Chelsea, termasuk tandikan Armando Broja yang terkena tiang.

Pertemuan di antara kedua-dua pasukan jelas berada di perspektif berbeza berbanding sebelum ini. 15 tahun lalu, kedua-dua pasukan bertemu satu sama lain di perlawanan akhir Champions League. Kini kedua-duanya dianggap sebagai kelab yang hilang mojonya dan bergelut dengan prestasi.

Satu-satunya kebanggaan hasil perlawanan ini ialah kerana United berjaya melonjak kembali ke kedudukan keenam. Chelsea pula kekal di kedudukan ke-10 buat masai ini.

Kemenangan ini turut melanjutkan dominasi United ke atas Chelsea kepada 12 perlawanan ketika kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford.

Chelsea pula masih perlu menanti untuk merekodkan kemenangan pertama mereka di stadium ini sejak 11 tahun yang lalu.

BACA:  Conte: Tiada Lagi Sengketa Antara Saya Dan Mourinho