De Zerbi Terkejut Jepun Panggil Mitoma Untuk Tugasan Di Piala Asia

Pengurus Brighton Roberto de Zerbi berkata dirinya terkejut dengan keputusan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) memanggil pemain sayapnya, Kaoru Mitoma untuk tugasan di Piala Asia yang bermula pada 12 Januari ini di Qatar.

Ini kerana Mitoma sebelum ini mengalami kecederaan buku lali ketika membantu Brighton seri 1-1 dengan Crystal Palace pada 21 Disember lalu.

De Zerbi sebelum ini mengesahkan Mitoma terpaksa disisihkan selama enam minggu akibat kecederaan tersebut.

Pemain sayap berusia 26 tahun itu bagaimanapun tetap berada di dalam skuad akhir Jepun untuk kejohanan antarabangsa benua Asia itu.

Piala Asia akan berlangsung di Qatar bermula 12 Januari sehingga 10 Februari hadapan.

“Saya amat terkejut kerana pasukan perubatan memaklumkan kepada saya Mitoma memerlukan sekitar empat atau enam minggu untuk pulih daripada kecederaan,” kara De Zerbi sebelum perlawanan menentang West Ham awal pagi nanti.

“Pada saya sukar untuk melihat penglibatan pemain ini di Piala Asia nanti.

“Tetapi saya amat menggemari Mitoma, dan pemain lain di dalam pasukan lain juga. Dan sekiranya mereka boleh menyumbang untuk negara masing-masing maka saya akan berbangga.”

Pengurus Jepun Hajime Moriyasu berkata dirinya juga tidak pasti sama ada Mitoma akan cergas untuk diturunkan dalam perlawanan pertama pasukan itu di Piala Asia menentang Vietnam pada 14 Januari.

“Saya tidak pasti jika [Mitoma] bersedia untuk bermain perlawanan pertama nanti. Tetapi dia sedang pulih dengan baik dan saya jangkakan dia akan bersedia untuk pusingan awal kejohanan,” tegas Moriyasu.

Selain Mitoma, Brighton juga akan kehilangan khidmat pemain penyerang Simon Adingra yang akan menyertai skuad Ivory Coast untuk Kejohanan Piala Afrika (Afcon) yang akan berlangsung dari 13 Januari sehingga 11 Februari nanti.

Seperti Mitoma, penglibatan Adingra bersama negaranya juga tidak jelas kerana mengalami kecederaan harmstring.

BACA:  Sejarah Piala Asia