Chiellini Dedah Beliau Gemar Melihat Gaya Permainan James

Pertahanan legenda Juventus, Giorgio Chiellini telah mendedahkan yang beliau benar-benar menikmati gaya permainan yang ditunjukkan oleh bintang Manchester United, Daniel James.

Chiellini yang ketika ini berusia 36 tahun telah menikmati perjalanan yang sungguh cemerlang sepanjang kariernya, dan masih lagi menjadi pemain penting dalam skuad Itali untuk saingan Euro 2020 ini.

Beliau ketika aksi pertemuan antara Itali bertemu Wales awal pagi tadi sekadar duduk dibangku simpanan sahaja.

Wales dikejutkan dengan kekalahan 1-0 namun mereka masih berjaya untuk mara ke pusingan 16 terbaik sebagai naib juara kumpulan.

Hal ini kerana Wales mempunyai kelebihan dari segi jaringan berbanding Switzerland yang berjaya menewaskan Turki 3-1 awal pagi tadi.

Bintang Manchester United, Daniel James diturunkan sebagai kesebelasan utama Wales dalam perlawanan ini, namun beliau gagal memberikan impak memandangkan skuadnya terpaksa menyerap asakan dari Itali.

Jika dahulu Itali terkenal sebagai sebuah pasukan yang lebih mementingkan pertahanan, kini mereka dilihat tampil dengan begitu berbeza.

Anak-anak buah Roberto Mancini mengawal tempo permainan dengan sangat cemerlang dan sering merencanakan serangan yang bertubi-tubi ke kubu Wales.

Bercakap sebelum perlawanan, Chiellini telah ditanya tentang siapa pemain Wales yang paling beliau mahu saksikan, dan nama James telah terukir di bibirnya.

“Saya suka Aaron Ramsey, kami bermain bersama dan dia seorang pemain yang menakjubkan, namun dia sedikit tidak bernasib baik kerana masalah kecederaan.”

Jelas Chiellini kepada ITV Sport.

“Ketika dia cergas, dia seorang yang luar biasa dan sangat hebat, Bale sememangnya dikenali ramai dan saya sangat suka dengan James.”

“Saya suka melihat James berkembang dengan Manchester United sekarang.”

James sememangnya seorang pemain yang berbakat, beliau banyak membantu bahagian serangan dan pertahanan Wales ketika diturunkan untuk beraksi.

Ketika aksi perlawanan pembukaan yang menemukan Wales bertemu Switzerland sebelum ini, James telah dikeluarkan pada aksi babak kedua permainan, sebaik skuadnya menjaringkan gol penyamaan.

Beliau yang dipanggil untuk keluar dan digantikan dengan David Brooks menunjukkan reaksi bengang dan tidak gembira dengan keputusan pengurusnya itu.

James kelihatan sangat marah ketika beliau berjalan meninggalkan padang bahkan turut menunjukkan kemarahannya ketika kembali ke tempat duduk pemain simpanan.

Legenda Wales, Dean Saunders yang juga bertugas sebagai pengulas untuk talkSPORT, turut bengang dengan keputusan Robert Page mengeluarkan Dan James.

“Saya hanya akan memuji Rob Page kerana memilih untuk menurunkan Moore berbanding Harry Wilson, tapi apa yang cuba dia buat dengan mengeluarkan James? Saya harap dia tak cedera. Dia pemain terbaik dalam perlawanan ini bagi saya.”

Jelas Saunders.

“Dia langsung tak gembira ketika dia dikeluarkan, tapi dia terus saja pergi menuju ke terowong. Dia merupakan pemain yang sering menciptakan bahaya untuk Wales gugat gawang Switzerland, sepanjang perlawanan.”

“Dia mesti cedera, pasti. Selain dari tu, kenapa perlu dia dikeluarkan? Dan James telah mempamerkan rentak permainan yang sungguh menakjubkan, dia sentiasa beri ancaman ke kubu lawan.”

Ketika aksi bertemu Itali awal pagi tadi, James telah dikeluarkan pada minit ke-74 permainan dan digantikan oleh Harry Wilson.

Namun kali ini beliau tidak menunjukkan reaksi yang sama seperti sebelum ini memandang Wales sememangnya perlu membuat pertukaran untuk mendapatkan fresh leg yang boleh membantu mereka mengelak dari dibolosi lagi sambil berusaha menjaringkan gol.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dengan Wales berjaya mengikuti jejak Itali ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua.

BACA:  Balotelli Dan Felipe Melo Tembak Balik Chiellini Yang Biadap