Conor Callagher Dianggap Penandatanganan Terhebat Dalam Saingan EPL Musim Ini

Sementara pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Aaron Ramsdale berjaya menyesuaikan diri dengan sempurna bersama skuad baru masing-masing, ramai yang percaya Conor Gallagher merupakan penandatanganan terhebat musim ini.

Salah seorang bekas bintang Premier League percaya yang Conor Gallagher berhak untuk dianggap sebagai penandatanganan terbaik untuk musim ini atas aksi hebat dan mantap yang beliau persembahkan.

Pemain midfield berusia 21 tahun itu menyertai Crystal Palace menerusi perjanjian pinjaman dari Chelsea pada musim panas lalu.

Namun impak yang beliau tunjukkan pada ketika ini dianggap satu hal yang sungguh luar biasa menakjubkan dan ia juga bakal mengubah masa depan bintang muda itu.

Gallagher sudah membuat 10 penampilan dalam saingan Premier League di bawah kendalian Patrick Viera dengan beliau berjaya menjaringkan empat gol dan turut mencatatkan dua assists sepanjang tempoh tersebut.

Aksi kepulangan semula ke saingan Premier League yang sungguh dasyat selepas beliau sebelum ini beraksi sebagai pemain pinjaman bersama Charlton dan West Bromwich Albion.

Gallagher dilihat berada di tahap baru pada musim ini dengan beliau menunjukkan kematangan dan peningkatan yang mendadak dalam aksi serta persembahannya.

Jonathan Woodgate bahkan turut membayangkan yang Conor Gallagher berhak untuk dianggap sebagai penandatanganan terhebat sepanjang musim ini.

Bekas pemain Newcastle, Leeds dan Real Madrid itu sangat teruja dengan apa yang beliau lihat pada ketika ini, dan beliau sangat berpuas hati melihat persembahan mantap dari Gallagher.

Bercakap dalam satu temu bual baru-baru ini, beliau mendedahkan:

“Penandatanganan terhebat musim ini, bagi saya, dia adalah Conor Gallagher dari Chelsea ke Crystal Palace.”

Jelas Woodgate.

“Dia juga ada dalam skuad impian saya sebenarnya. Saya suka cara dia bermain. Saya banyak menonton aksi dia ketika bersama Charlton di bawah kendalian Lee Bowyer, dia ada banyak tenaga, dia menjaringkan gol dan mencipta ruang untuk pemain lain. Dia pemain yang menakjubkan.”

“Gaya permainan Patrick Vieira sebenarnya sangat sesuai dengan Gallagher, dia masuk dan dia ubah semua berkait taktikal, dan ia membuahkan hasil untuk dia. Tidak kurang juga dengan impak yang ditunjukkan oleh Gallagher sejak dari dia masuk.”

Dek kerana Chelsea mempunyai kekuatan dan kelebihan dalam skuad depth mereka, maka pihak kelab membenarkan Gallagher untuk mencari pengalaman baru di luar.

Pihak kelab mahu beliau bermain di pentas yang besar setiap minggu agar dapat melihat apa lagi yang mampu dilakukan oleh bintang muda itu.

Walau bagaimanapun, pengurus kelab, Thomas Tuchel akan tetap perlu membuat keputusan yang besar selepas ini, ketika Gallagher kembali ke Stamford Bridge musim panas nanti.

Tuchel harus memilih sama ada mahu mengekalkan Gallagher, atau melepaskan beliau untuk beraksi bersama pasukan lain pada musim hadapan.

Bercakap tentang Chelsea, Woodgate turut percaya yang The Blues akan memenangi sesuatu pada musim ini, selepas kejayaan mereka menjuarai saingan Champions League musim lalu.

“Saya sangat yakin Chelsea akan memenangi gelaran Premier League tahun ini, hanya kerana mereka jarang bolos. Ketika mereka dapat khidmat Lukaku, maka mereka bakal menjadi pasukan gergasi dalam saingan Premier League.”

Conor Callagher tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain paling berprestasi sepanjang musim ini, dan kerana itu jugalah beliau dipanggil untuk melakukan debutnya bersama skuad kebangsaan England.

Tidak akan mengejutkan andai banyak kelab-kelab gergasi akan berusaha untuk mendapatkan khidmat beliau selepas ini kerana Conor Gallagher sememangnya membawa impak yang sangat positif ketika beliau diturunkan untuk beraksi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lihat Aksi Conor Gallagher Jaringkan Gol Yang Sungguh Dasyat Bertemu Everton