Conte: Chelsea Tidak Boleh Benarkan ‘Tragedi Salah & De Bruyne’ Dari Terus Berulang

Pengurus Chelsea, Antonio Conte berkata pihak pengurusan kelab harus memperketatkan polisi perpindahan pemain pada masa hadapan bagi memastikan pemain seperti Mohamed Salah dan Kevin De Bruyne meninggalkan kelab terbabit.

Beberapa pemain muda telah meninggalkan The Blues pada masa lepas untuk mencipta nama bersama kelab lain dan contoh terbaik dapat dilihat menerusi Mohamed Salah, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku. Ketiga-tiga pemain tersebut berjaya mencipta nama bersama kelab masing-masing selepas meninggalkan Stamford Bridge.

Conte tidak mahu pisang berbuah dua kali

Menariknya, ketiga-tiga pemain tersebut pernah bermain di bawah Jose Mourinho dan dibenarkan untuk berpindah ketika pengurus berasal Portugal itu masih memegang tampuk pengurusan kelab.

Salah dan De Bruyne dijual kepada kelab luar England tetapi kembali tidak lama kemudian manakala Lukaku berpindah ke Everton sebelum Manchester United menyambar beliau tahun lepas.

Musim ini menyaksikan Chelsea bergelut untuk berada di kedudukan empat teratas liga dan besar kemungkinan tidak akan bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Conte yang masa depannya di Stamford Bridge masih belum terjamin berpendapat Chelsea perlu lebih teliti dalam membuat keputusan ketika melepaskan pemain muda mereka kepada pasukan luar.

Salah dilepakan Mourinho kerana tidak cukup bersedia dari segi mental untuk bermain dengan Chelsea

“Pemain muda berbakat seperti Salah dan De Bruyne mesti berada di kelab ini pada masa hadapan. Saya percaya Chelsea mempunyai individu yang tepat untuk menilai pemain-pemain muda yang berada di kelab sekarang. Terdapat satu struktur untuk menentukan dan membuat keputusan yang terbaik mengenai pemain-pemain ini.”

Conte juga percaya Chelsea berada dalam landasan terbaik untuk memperbetulkan keadaan supaya kesilapan melepaskan pemain berbakat seperti Salah, Lukaku dan De Bruyne tidak berulang lagi pada masa hadapan.

“Kami sedang mencuba musim ini, anda dapat lihat Andreas Christensen memainkan peranan penting dalam pasukan ketika ini.”

“Sama juga seperti Ethan Ampadu dan Callum Hudson-Odoi. Saya rasa Chelsea sedang cuba membangunkan bakat-bakat ini.”

“Musim lepas jika anda ingat Loftus-Cheek, Nathaniel Chalobah, Kenedy dan Charly Musonda semuanya diberikan peluang bermain dengan Chelsea.”

De Bruyne pula dilepaskan Mourinho kerana gagal mempamerkan tahap permainan yang dikehendaki beliau

“Saya rasa tindakan kelab memberikan peluang kepada pemain-pemain muda adalah tindakan yang betul supaya mereka dapat membuktikan mereka berhak berada di Chelsea. Bukan disebabkan mereka pemain muda sahaja.”

Chelsea akan melayan kunjungan Liverpool di Stamford Bridge malam ini dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan kemenangan amat diperlukan bagi menghidupkan peluang Chelsea menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas.

Dengan Spurs mengalami kekalahan mengejut di tangan West Brom semalam, persaingan untuk menduduki tempat ke-3 dan ke-4 masih lagi terbuka luas.

BACA:  Alonso Hampir 'Musnahkan' TV Ketika Menonton Undian Liga Juara-Juara