Manchester United dilaporkan bersedia untuk membawa masuk Antonio Conte ke Old Trafford sekiranya Jose Mourinho dipecat.
Valencia akan membuat kunjungan ke Old Trafford minggu ini dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dan Mourinho sedar keputusan selain dari kemenangan mampu menyebabkan beliau kehilangan kerja.
Kekalahan di tangan Valencia mungkin akan menyebabkan berakhirnya rejim Mourinho di United yang diselubungi dengan pelbagai kontroversi dalam dan luar padang. Antara yang paling mencuri perhatian adalah hubungan dingin di antara Mourinho dan Paul Pogba walaupu Mourinho menafikan perkara berkenaan.
Selain itu, Alexis Sanchez dan Anthony Martial merupakan antara pemain utama United yang sudah hilang kepercayaan terhadap Mourinho untuk menguruskan pasukan.
Sekiranya Mourinho dipecat dari jawatannya, United merancang untuk menyatukan kembali ‘dream team’ yang bertangunggjawab membantu Juventus mendominasi bola sepak Itali sehingga berjaya memenangi Serie A buat kali ke-7 berturut-turut.
Gandingan impian tersebut adalah CEO Juventus sekarang, Beppe Moratta dan bekas jurulatih Juventus, Antonio Conte. Mereka berdua pernah bekerjasama selama 3 tahun bermula 2011 sehingga 2014 yang mana menyaksikan Juventus berjaya memenangi 3 kejuaraan Serie A di samping mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Walaupun demikian, sasaran utama Red Devils sekiranya Mourinho dipecat masih lagi bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane. Zidane merupakan calon pilihan untuk mengambil alih kerusi panas di Old Trafford dan dilaporkan sudah mengambil kelas bahasa Inggeris bagi mempersiapkan diri untuk bekerja di England.
Jika rancangan utama gagal, Manchester United akan mengalihkan tumpuan mereka terhadap Conte yang kini tidak mempunyai sebarang ikatan dengan mana-mana kelab selepas dipecat Chelsea sebelum musim bermula.
Gandingan Conte dan Moratta dianggap sebagai alternatif terbaik untuk mengembalikan zaman kegemilangan Manchester United yang semakin hari semakin tenggelam di bawah Mourinho.
Tambah menghangatkan keadaan, Moratta mengesahkan beliau akan meninggalkan Juventus tidak lama lagi selepas membantu pasukan tersebut mendominasi Serie A dan kembali disegani di peringkat Eropah.
Conte berjaya memenangi 3 kejuaraan Serie A bersama Moratta sebelum mengambil alih jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Itali.
Selain itu, United juga sedang mempergiatkan lagi usaha untuk mencari direktor bola sepak yang baru bagi menggantikan tempat Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward. Woodward dilaporkan akan menerima tugasan baru yang tidak berkait dengan bola sepak.
Moratta dianggap calon paling ideal untuk mengisi jawatan direktor bola sepak tersebut tetapi Manchester United mungkin berdepan saingan kerana Moratta juga sedang dikejar oleh Persekutuan Bola Sepak Itali.