Bekas pemain Arsenal, Francis Coquelin berkata beliau hampir menyesal tidak meninggalkan Arsenal lebih awal selepas secara rasmi menyertai Valencia Khamis lalu.
Pemain tengah berasal dari Perancis ini mengambil keputusan untuk merebut tempatnya dalam kesebelasan utama walaupun terdapat minat terhadapanya musim panas lalu. Coquelin percaya keputusan yang diambilnya itu adalah salah dan beliau sepatutnya berpindah ketika itu.
Coquelin menyertai Arsenal pada usia yang sangat muda pada tahun 2008. Beliau membesar di akademi Arsenal sehingga menjadi pemain utama pasukan. Beliau berjaya mencatatkan minimum 20 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris dalam 3 musim sebelum ini.
Prestasi yang ditunjukkan beliau pada musim 2016/2017 telah menarik minat pelbagai kelab, tetapi pemain berusia 26 tahun ini mahu terus kekal di Emirates dan bersaing merebut tempat dalam pasukan utama.
Akhirnya, keputusan tersebut nyata memakan diri kerana beliau hanya mampu mencatatkan 1 penampilan liga musim ini dan hanya bermain selama 155 minit dalam semua pertandingan.
Arsenal menerima tawaran Valencia bagi mendapatkan khidmat Coquelin yang dianggarkan bernilai £12 juta. Dalam satu sidang media sempena ketibaan beliau di Valencia, beliau mengakui keputusan untuk kekal di Arsenal musim panas lalu adalah tidak tepat.
“Benar, terdapat minat terhadap saya musim panas lalu. Tetapi dalam kepala saya, saya hanya mahu terus bersama Arsenal dan membantu kelab meraih kejayaan. Ianya tidak berlaku dan peluang untuk menyertai Valencia tiba.”
“Saya hampir menyesal tidak menyertai Valencia lebih awal. Saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk saya dan saya sangat bersyukur dengan peluang ini.”
“Ini adalah cabaran besar dan permulaan baru dalam hidup saya. Saya tidak sabar untuk beraksi bersama kelab ini.”
Coquelin menandatangani kontrak baru bersama Arsenal musim lalu tetapi kurang diberikan peluang bermain oleh Arsene Wenger. Beliau telah menandatangani kontrak selama 4 tahun setengah bersama Valencia dan akan kekal di Mestalla sehingga tahun 2022.