Cottee: Salah Bernilai £150 Juta Jika Liverpool Mahu Menjual Beliau Musim Panas Nanti

Bekas pemain England yang kini bertindak sebagai penganalisa bolasepak, Tony Cottee mendakwa nilai semasa Mohamed Salah dalam pasaran perpindahan adalah sekitar £150juta.

Tetapi ia hanya akan berlaku seandainya Liverpool mahu melepaskan penjaring terbanyak mereka pada musim panas nanti.

£150juta ? Berbaloi-baloii

Dalam perlawanan terakhir Liverpool, Salah berjaya menjaringkan 4 gol ketika mereka menumpaskan Watford 5-0 di gelanggang sendiri hujung minggu lalu.

Salah kini sudah mengumpul 28 gol dalam Liga Perdana Inggeris dan 36 gol dalam semua pertandingan. Pemain antarabangsa Egypt ini juga telah mengatasi rekod Fernando Torres untuk muncul pemain paling banyak menjaringkan gol dalam musim pertama bersama Liverpool.

Real Madrid telah dikaitkan dengan Salah bagi memperkuatkan pasukan mereka pada musim panas nanti selepas mengharungi musim yang mengecewakan dalam peringkat domestik.

Bekas pemain England, Tony Cottee percaya kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Salah dalam masa terdekat ini perlu membayar jumlah yang sama diterima Liverpool bagi khidmat pemain antarabangsa Brazil, Philippe Coutinho.

Tony Cottee, bekas pemain England dan West Ham suatu ketika dahulu. Kini bekerja sebagai pengulas di Skysports

Barcelona membayar £146juta untuk khidmat Coutinho, menjadikan beliau pemain ketiga termahal dalam sejarah bolasepak dunia, di belakang Neymar dan Kylian Mbappe.

“Coutinho berpindah dengan yuran perpindahan £146juta dan saya rasa Liverpool mahukan jumlah yang sama sekiranya mereka mahu melepaskan Salah pada musim panas nanti.”

“Tetapi beliau baru sahaja menyertai Liverpool dan mengharungi musim yang fantastik. Jadi saya tidak rasa Salah mahu meninggalkan Liverpool buat masa sekarang.”

“Liverpool sedang membina pasukan dan jika mereka mampu menewaskan Manchester City [suku akhir Liga Juara-Juara Eropah], sudah tentu mereka yakin dengan peluang mereka untuk menjuarai Liga Juara-Juara.”

“Terdapat banyak perkara berlaku di Liverpool pada ketika ini tetapi saya tidak rasa Salah mahu meninggalkan pasukan tersebut. Tetapi sekiranya Liverpool mahu menjual beliau, paling kurang £150juta perlu dibayar untuk khidmat Salah.”

Cottee juga melihat persamaan di antara Salah dan pemain terbaik dunia 5 kali, Lionel Messi. Tetapi beliau percaya Salah perlu terlebih dahulu menunjukkan prestasi yang konsisten dalam beberapa musim untuk berada setaraf dengan legenda Barcelona itu.

“Amat sukar bagi mana-mana pemain untuk dibandingkan dengan Lionel Messi, tetapi kedua-dua pemain ini berkaki kiri. Walaupun beliau beraksi cemerlang dalam musim pertamanya bersama Liverpool, Salah harus melakukannya secara konsisten untuk 4 atau 5 musim yang akan datang.”

“Tetapi dari segi musim pertama, Salah telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang.”

Salah atau De Bruyne ? Siapa yang lebih berhak untuk merangkul pemain terbaik Liga Perdana Inggeris ?

Walaupun takhta juara Liga Perdana Inggeris hampir pasti akan dimiliki Manchester City, persaingan untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA masih lagi terbuka luas.

Sebelum ini, Cottee memilih Kevin De Bruyne untuk menggondol anugerah tersebut berdasarkan sumbangan beliau dalam skuad Pep Guardiola. Tetapi selepas melihat aksi cemerlang Salah kebelakangan ini, beliau menukar fikiran dan memilih Salah untuk anugerah tersebut.

“Jika saya diberi peluang untuk mengundi Pemain Terbaik Tahunan PFA, saya akan undi Mohamed Salah.”

“Saya yakin Salah merupakan calon yang popular untuk anugerah tersebut. Hanya ada dua pemain sahaja yang akan memenangi anugerah tersebut – Salah atau De Bruyne. Saya rasa Salah yang akan menang.”

BACA:  Bukan Pengurus Atau Pemain Liverpool, Tapi Gerrard Paling Teruk Kena Nganjing Selepas City Sah Bergelar Juara