Coutinho: Neymar & Salah Mampu Gugat Dominasi Ronaldo-Messi

Pemain tengah Barcelona, Philippe Coutinho percaya Mohamad Salah dan Neymar berpeluang membuktikan kepada dunia mereka adalah pemain terbaik dunia apabila turun mewakili negara masing-masing di pentas Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia tidak lama lagi.

Pemain yang bakal mewarnai malam gala FIFA selepas peminat bolasepak naik mual dengan Ronaldo dan Messi

Coutinho juga percaya kedua-dua pemain tersebut akan menggugat dominasi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi di persada arena bolasepak antarabangsa apabila Piala Dunia bermula.

Neymar dan Salah masing-masing menuju ke Piala Dunia dengan masalah kecederaan. Salah mengalami kecederaan di bahagian bahunya ketika Liverpool tumpas di tangan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah manakala Neymar pula tidak bermain sejak bulan Februari kerana tulang retak di bahagian pergelangan kaki.

Coutinho berpeluang bermain bersama Salah selama beberapa bulan sebelum beliau berpindah ke Nou Camp pada jendela perpindahan Januari lalu. Manakala di peringkat antarabangsa pula, Coutinho sering digandingkan bersama Neymar di bahagian serangan Brazil. Selepas bekerjasama dengan kedua-dua pemain hebat ini, Coutinho yakin mereka akan menamatkan dominasi Ronaldo dan Messi untuk dinamakan  sebagai pemain terbaik dunia.

Walaupun hanya sempat bermain beberapa bulan sahaja bersama Salah, Coutinho tahu Salah adalah pemain yang istimewa dan bakal diangkat menjadi pemain terbaik dunia

“Saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk seseorang mengambil peluang menjadi pemain terbaik dunia di Piala Dunia nanti.”

“Sudah beberapa tahun Messi dan Ronaldo berada di atas sana. Saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai bagi pemain lain untuk diangkat menjadi pemain terbaik dunia selain menjadi yang terbaik di Piala Dunia nanti.”

“Bagi saya, Neymar dan Salah mempunyai peluang yang cerah untuk menamatkan dominasi tersebut. Segalanya bergantung kepada perjalanan pasukan mereka di Piala Dunia, tetapi Neymar dan Salah mempunyai bakat untuk melakukannya. Mereka adalah pemain yang saya pilih untuk menjadi pemain terbaik dunia selepas ini.”

Neymar dan Coutinho merupakan sahabat baik sejak dulu lagi dimana mereka bermain bersama dalam skuad remaja Brazil

Walaupun sempat bermain bersama Salah selama 5 bulan sebelum perpindahan ‘blockbuster’ beliau ke Barcelona, ianya sudah mencukupi untuk beliau ketahui Salah bakal menjadi pemain yang disanjung tinggi peminat Liverpool untuk tahun-tahun yang mendatang.

“Melihat bagaimana Mo Salah beraksi, saya sudah tahu beliau pemain yang cemerlang. Beliau akan menjadi pemain yang akan diangkat menjadi hero buat Liverpool untuk tempoh yang lama. Saya sudah dapat menjangka perkara ini sejak saya berada di Liverpool lagi.”

“Salah juga mampu mempamerkan prestasi yang baik di Piala Dunia, tetapi segalanya bergantung sama ada pasukan beliau mampu mara lebih jauh atau tidak.”

“Kita semua tahu apa yang Neymar mampu berikan kepada Brazil. Beliau adalah pemain yang cukup istimewa.”

BACA:  Klopp Berang Dan Tinggalkan Temubual Selepas Kalah Bermaruah Kepada United