Cristiano Ronaldo Suruh Ole Ubah Taktikal Manchester United

Cristiano Ronaldo meminta Ole Gunnar Solskjaer supaya mengubah taktikal Manchester United agar dapat disesuaikan dengan corak dan gaya permainan beliau, selepas beliau menjadi pemain terpenting setan merah pada ketika ini.

Ronaldo berjaya menjaringkan lima gol dari semua pertandingan bersama Manchester United sejak kepulangan semula beliau ke Old Trafford dari Juventus pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Gol kelima beliau berjaya dijaringkan ketika aksi bertemu Villareal dalam aksi peringkat kumpulan, saingan Champions League di Old Trafford kemarin.

Beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan di minit akhir permainan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 United menewaskan Juara saingan Europa League musim lalu, Villareal.

Walaupun beliau dilihat sudah berada di tahap persembahan terbaiknya, namun Ronaldo tetap meminta Ole Gunnar Solskjaer agar mengubah gaya permainan Manchester United.

Menurut sumber laporan dari ESPN, pemain berusia 36 tahun itu mahu agar para pemain United untuk membawa bola masuk ke kawasan serangan dengan lebih pantas lagi, dalam usaha kelab untuk mendapatkan yang terbaik darinya di atas padang.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu sudah menjelaskan tentang hal tersebut kepada pengurus dan barisan jurulatih yang lain dengan beliau yakin dirinya akan menjaringkan lebih banyak gol andai United lebih pantas untuk membawa bola masuk ke final third.

Laporan tersebut turut menyatakan yang United sudah mula berusaha untuk penuhi permintaan Ronaldo itu, dengan mereka ketika ini sedang menjalani latihan untuk membiasakan pemain lain agar bergerak lebih pantas untuk masuk ke kawasan lawan, dan menghantar bola kepada bintang Portugal itu.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer itu sedang dalam usaha mereka untuk menjadi pasukan yang paling digeruni kerana ketajaman jentera serangan mereka.

Tambahan lagi, barisan kejurulatihan turut meminta agar pemain di bahagian defensive midfielder dan pertahanan agar mengubah gaya permainan mereka dan perlu turut lebih pantas menghantar bola membantu jentera serangan.

Pemain seperti Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Mason Greenwood turut memainkan peranan penting dalam jentera serangan United sepanjang musim ini.

United walau bagaimanapun meminta agar mereka boleh pamerkan aksi lebih baik dan lebih kerap untuk menghulur bola kepada Ronaldo yang lebih klinikal di hadapan gol.

Bintang Portugal itu telah membuktikan ketajaman beliau di hadapan gol dan ketika karier keduanya bersama United, Ronaldo masih tetap sangat klinikal di dalam kotak penalti, dengan beliau kerap menjaringkan gol dari kawasan tersebut.

Walau sudah berusia 36 tahun, namun ketajaman dan kualiti penyudah yang beliau miliki tidak boleh diragui sama sekali. Dari tujuh perlawanan awal ini sahaja, Ronaldo sudah beberapa kali membantu United untuk mencatatkan kemenangan dengan menjaringkan gol penting.

United selepas ini akan kembali beraksi dalam saingan Premier League, dengan mereka bakal melayan kunjungan Everton ke bumi Old Trafford.

Manchester United pada minggu lalu telah dikejutkan dengan kekalahan bertemu Aston Villa dan mereka tentunya mahu bangkit dari kekalahan tersebut dengan menewaskan Everton.

Mereka pada ketika ini berada di kedudukan keempat dalam carta liga selepas mencatatkan empat kemenangan, satu seri dan satu kalah dari enam perlawanan pertama dalam saingan Premier League musim ini.

Setan merah perlu mencatat kemenangan minggu ini agar mereka tidak terkeluar dari landasan untuk mencabar kejuaran liga musim ini.

Tidak dinafikan lagi, United sememangnya sedang berada di landasan terbaik untuk mereka memenangi Piala pertama kelab di bawah kendalian Ole Gunnar Solkjaer.

Dengan barisan pemain berkelas dunia yang mereka miliki pada ketika ini, adalah menjadi satu kerugian yang teramat sangat andai Manchester United tidak memanfaatkannya dengan memenangi sekurang-kurangnya satu Piala.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pogba Berterima Kasih Kepada Mourinho Kerana Menjadikan Dirinya Pemain Lebih Baik