Insiden Keras di Selhurst Park Mateta Cedera Akibat Terjahan Bahaya
Perlawanan Piala FA antara Crystal Palace dan Millwall di Selhurst Park menyaksikan satu insiden mengejutkan apabila penjaga gol Millwall, Liam Roberts membuat terjahan berbahaya ke atas Jean-Philippe Mateta. Tindakan Roberts yang meluru keluar dari kotak penalti dengan kaki terangkat tinggi seperti gerakan karate menyebabkan Mateta terjatuh dan mengalami kecederaan.
Pada awalnya, pengadil tidak memberikan sebarang respon terhadap insiden itu walaupun ramai yang terkejut melihat ulang tayang perlanggaran tersebut. Namun, selepas campur tangan VAR, Roberts akhirnya dilayangkan kad merah kerana kekasaran serius.
Keadaan Stadium Yang Tegang
Pertemuan antara dua kelab selatan London itu memang sudah dijangka panas tetapi kebimbangan sebelum perlawanan lebih tertumpu kepada pergaduhan di luar padang. Sebelum perlawanan bermula, ratusan pegawai polis ditempatkan di sekitar stadium bagi mengawal penyokong kedua-dua pasukan yang saling berbalas nyanyian provokasi.
Sebaik perlawanan bermula, suasana terus tegang. Penyokong Millwall yang hadir dalam jumlah besar dikelilingi kawalan ketat pihak keselamatan. Namun, insiden melibatkan Roberts dan Mateta yang berlaku seawal minit ke-5 telah mengejutkan semua pihak.
Perlawanan terhenti selama 9 minit bagi memberikan rawatan kepada Mateta. Keputusan perlawanan akhirnya berpihak kepada Crystal Palace yang menang 3-1 tetapi perbincangan selepas perlawanan lebih tertumpu kepada insiden kekasaran tersebut.
Reaksi Pengurus Dan Pemain
Pelbagai pihak mengkritik tindakan Roberts. Pemilik Crystal Palace, Steve Parish menyatakan kemarahannya dalam siaran langsung BBC ketika rehat separuh masa pertama.
“Saya tak pernah lihat cabaran seperti ini. Ia sangat berbahaya dan boleh membahayakan nyawa pemain lain,” katanya dengan penuh emosi.
Namun jurulatih Crystal Palace, Oliver Glasner lebih tenang dalam memberikan pandangan. Walaupun jelas kecewa dengan kecederaan yang dialami Mateta, beliau percaya bahawa Roberts tidak berniat mencederakan pemainnya.
“Saya yakin dia tidak mahu mencederakan JP tetapi dia membuat keputusan yang salah. Jika dia terkena muka Mateta dengan kekuatan sebegitu, ia boleh menamatkan kariernya,” kata Glasner.
Pengurus Millwall, Alex Neil turut mengakui bahawa keputusan melayangkan kad merah kepada Roberts adalah tepat tetapi tidak bersetuju dengan kenyataan Parish yang menyatakan bahawa insiden itu adalah yang paling teruk pernah dilihatnya.
“Ia memang kesilapan tetapi saya tidak rasa ia cabaran paling teruk. Kami tidak mahu Mateta cedera dan kami harap dia segera pulih,” kata Neil.
Tingkah Laku Penyokong Millwall Dikecam
Selain insiden di atas padang, penyokong Millwall turut mencetuskan kontroversi dengan nyanyian menghina ketika Mateta sedang menerima rawatan. Sebahagian mereka menyanyikan lagu yang menyarankan Mateta ‘dibiarkan mati’ serta membuat sorakan homofobik terhadap pemain Crystal Palace, Ben Chilwell.
Pihak polis London mengesahkan bahawa mereka telah menahan 3 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang perlawanan.
“Kami sedar terdapat insiden termasuk nyanyian bersifat menghina dan seorang penyokong memasuki kawasan pasukan lawan. Kami akan bekerjasama dengan kelab dan FA dalam siasatan ini,” kata jurucakap polis.
Mateta Dalam Keadaan Baik
Berita baiknya, Mateta dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sempat memberikan kemas kini di Instagram selepas perlawanan.
“Saya dalam keadaan baik. Saya harap dapat kembali lebih kuat. Syabas kepada pasukan atas kemenangan hari ini. Saya sayang kamu semua,” tulisnya.
Insiden itu menjadi satu lagi contoh bagaimana VAR memainkan peranan penting dalam memastikan keputusan yang lebih adil dibuat. Walaupun Roberts mungkin tidak berniat mencederakan Mateta tetapi tindakan berisiko tinggi seperti itu tidak boleh dibiarkan dalam bola sepak moden.