“Dah Tu Bila Nak Celebrate?”- Odegaard Ketawakan Kritikan ‘Killjoy’ Carragher

Martin Odegaard sekadar ketawakan kritikan ramai terutama legenda Liverpool, Jamie Carragher mengenai keraiannya selepas membantu Arsenal menewaskan Liverpool 3-1 pada hujung minggu lalu.

Meraikan kemenangan tersebut, Odegarrd mengambil kamera milik jurufoto Arsenal dan mulai mengambil gambar. Kemenangan tersebut mendekatkan jarak mata The Gunners di dalam kedudukan liga dengan pendahulu, yang kini hanya dibezakan hanya dua mata.

Keraian tersebut bagaimanapun menjengkelkan bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher yang berkata: “Pergi sahajalah ke terowong pemain. Sudah menang, tiga mata, dan ya awak main dengan baik. Kembali mencabar kejuaraan, masuk terus ke terowong pemainlah. Saya serius ni. Jujur”

Dituduh sebagai tidak berdisiplin kerana keraiannya itu, Odegaard kemudiannya tampil dengan respon dan menjelaskan keraiannya itu adalah berdasarkan kepentingan perlawanan tersebut.

“Saya berpendapat mereka yang sukakan bola sepak, yang memahami bola sepak, mereka tahu makna di sebalik kemenangan sebegini,” ujar Odegaard kepada wartawan.

“Dan jika anda tidak dibenarkan untuk meraikannya, habis tu bila pula nak raikannya? Kami gembira dengan kemenangan ini tetapi kekal rendah hati.

“Kami terus berusaha keras dan kini bersedia untuk perlawanan seterusnya. Tetapi sudah tentu anda gembira kerana sudah menang. Ia perlawanan yang sangat penting.

“Kami berpotensi ketinggalan sehingga lapan mata di belakang [jika kalah] dan keadaan akan menjadi semakin sukar. Tetapi kami berjaya melakukannya dan penyokong [di Emirates] juga hebat.

“Kami melakukannya semua ini secara bersama. Anda melihat kelab ini dan lihatlah kebersamaan kami, semua pemain, kakitangan, penyokong, semuanya. Ya, ia sangat mengujakan untuk dilihat.”

Pengurus pasukan Mikel Arteta turut tidak ketinggalan dikritik kerana keraiannya menyambut kemenangan itu sehingga memaksa legenda Arsenal, Ian Wright tampil mempertahankannya.

“Komen negatif terhadap pengurus kami… Apa yang dilakukannya meraikan jaringan dan meraikan kemenangan pasukan? Dia meraikan kejayaan pasukan yang berusaha menewaskan pesaing hebat seperti Liverpool dan Manchester City.

“[Dikritik] kerana dia meraikan kemenangan? Kerana Martin Odegaard mengambil gambar Stuart si jurufoto? Dia adalah penyokong setia The Gunner. Dia adalah penyokong Arsenal sejak berusia 5 tahun. Apa masalahnya pula bila kapten pasukan melakukan perkara sebegitu?” persoal Wright.

“Saya tak faham mengapa semua pihak [baca ‘penyokong terpaling Liverpool’] cuba untuk kill joy. Musim masih lagi panjang. Apabila Arsenal melakukannya mereka salah. Macam kita tak boleh berseronok.”

BACA:  Sanchez Semakin Hampir Sertai United, Gaji Lebih Tinggi Dorongan Utama Tolak City