Liverpool dilaporkan akan merayu kad merah yang diterima Curtis Jones dalam kekalahan 2-1 kepada Tottenham Hotspur pada hujung minggu lalu.
Jones dilayangkan kad merah pada minit ke-26 perlawanan ketika kedudukan 0-0 selepas didapati bersalah melakukan terjahan tinggi menggunakan kaki terhadap pemain tengah Spurs, Yves Bissouma.
Pemain berusia 22 tahun itu pada mulanya diberikan layangan kad kuning oleh pengadil perlawanan Simon Hooper.
Semakan VAR oleh Darren England bagaimanapun mendorong Hooper mengubah keputusannya kepada layangan kad merah.
Malah ulang tayang kekasaran Jones turut diulang tayang di skrin gergasi stadium membuatkan ramai penonton yang hadir ke stadium tidak senang dengan kekasaran tersebut.
(🟢) NEW:
Liverpool are to appeal against the red card given to Curtis Jones against Tottenham. [@_pauljoyce] pic.twitter.com/gCqtkaqT5Y
— The Anfield Talk (@TheAnfieldTalk) October 2, 2023
Layangan kad merah tersebut bermakna Jones secara automatik menerima pergantungan untuk perlawanan menentang Brighton & Hove Albion, Everton dan Nottingham Forest.
Media arus perdana Britain, BBC bagaimanapun melaporkan Liverpool tidak berpendapat Jones melakukan kesalahan yang serius dan akan mengemukakan rayuan bagi membenarkan pemain itu beraksi dalam perlawanan di Stadium Amex pada hujung minggu ini.
Melalui temubual selepas perlawanan pada Sabtu lalu, Jurgen Klopp berkata kekasaran yang dilakukan Jones terhadap Bissouma tidak selayaknya dihukum dengan layangan kad merah.
“Mungkin semua anda di bilik ini menilai ia sepatutnya kad merah. Saya melihat ia berbeza. Ini kerana saya biasa bermain bola sepak dan anda yang lain tidak,” kata Klopp.
“Terjahan penuh ke atas bola, kakinya ke arah bola, sebelum terkena sedikit sahaja pada kaki lawan. Apabila anda melihat ia secara gerak perlahan, ia nampak teruk.
“Tapi ketika kejadian sebenar ia tidaklah seteruk itu. Curtis tidak melakukannya dan ia berlaku tanpa disengajakan.
“I see it differently because I played football and most of you probably didn’t!” 😳
Jurgen Klopp says @LFC midfielder Curtis Jones shouldn’t have been sent off against @SpursOfficial
🔗 https://t.co/AdziIxow0X pic.twitter.com/62mS8Xcd9Z
— Hayters TV (@HaytersTV) September 30, 2023
“Kejadian itu berlaku dengan pantas dalam perlawanan sebenar tetapi kita menilainya dengan gerak perlahan – itu tidak masuk akan sama sekali.”
Liverpool terpaksa bermain dengan sembilan pemain pada babak kedua setelah Diogo Jota menerima dua layangan kad kuning atas kekasaran terhadap Destiny Udogie.
Berbeza dengan situasi Jones, Liverpool tiada hak untuk merayu atau menyalahkan VAR untuk situasi Jota kerana layangan kad kuning tidak boleh disemak kembali.
Perlawanan Liverpool dan Spurs dibayangki kontroversi pembatalan gol Luis Diaz yang didakwa offside selepas Jones diarahkan keluar padang.
Salah komunikasi di antara Hooper dan England yang memantau VAR dikatakan menjadi punca kesilapan, yang mendorong Liverpool nekad menentang kezaliman teknologi itu secara habis-habisan.
Melalui satu kenyataan media pada malam Ahad lalu, Liverpool berkata mereka akan mencari dan menilai semua kaedah yang ada untuk berbuat demikian.