Griezmann Bantai Pengadil Kerana Terlalu Manjakan Liverpool

Antoine Griezmann tidak diturunkan ketika aksi bertemu Liverpool awal pagi tadi kerana beliau sedang menjalani hukuman penggantungan, selepas dilayangkan kad merah sebelum ini.

Beliau dilayangkan kad merah ketika beraksi bertemu Liverpool sebelum ini di Wanda Metropolitano, dan ketika aksi pertemuan semula kedua-dua pasukan di Anfield, beliau hanya mampu untuk jadi penonton sahaja.

Walau bagaimanapun, ia jelas sekali tidak menghalang Griezmann untuk turut terlibat dalam perlawanan ini, dengan beliau telah meluahkan rasa kecewanya terhadap mutu pengadilan pengadil dalam perlawanan tersebut.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Atletico Madrid selepas Sadio Mane dan Diogo Jota muncul sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini.

Kemenangan ini juga membawa Liverpool ke pusingan kalah mati sebagai Juara kumpulan, dengan mereka mencatatkan rekod bersih empat kemenangan dari empat perlawanan.

Kekalahan untuk Atletico Madrid pula meletakkan skuad kendalian Diego Simeone itu dalam kedudukan perlu menang baki dua perlawanan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Griezmann menonton perlawanan pada hari ini dengan penuh kekecewaan selepas beliau tidak dibenarkan untuk beraksi kerana dilayangkan kad merah di Wanda Metropolitano.

Pemain berusia 30 tahun itu memuat naik status di laman twitter dengan menyatakan bahawa:

“Amarilla en Anfield.”

Yang mana beliau jelas menghentam pengadil perlawanan, Danny Makkelie yang memakai baju kuning dan sering membuat keputusan memihak Liverpool.

Antara keputusan pengadil yang sedikit menzalimi Atletico dalam perlawanan ini adalah bagaimana beliau melayangkan kad merah kepada Felipe kerana mengasari Sadio Mane.

Pengadil awalnya memanggil Felipe mungkin untuk sekadar diberi amaran atau dilayangkan kad kuning kerana mengasari Mane dari belakang.

Namun dek kerana pemain Brazil itu tidak mempedulikan pengadil, maka beliau telah dilayangkan kad merah dan diarahkan untuk mandi awal.

Walau keputusan ini agak kontroversi, namun ia masih lagi boleh diterima kerana Felipe sendiri yang menunjukkan sikap keras kepala melawan pengadil.

Terdapat satu insiden pada aksi babak kedua dalam perlawanan ini, yang mana Diogo Jota cuba untuk menjaringkan gol dengan melakukan teknik lipat gulung.

Walau bagaimanapun, ketika beliau menghayun kakinya, bukan bola yang beliau temui, sebaliknya kepada Trippier yang menjadi mangsa.

Namun berbanding dilayangkan kad merah seperti mana Griezmann dilayangkan kad merah atas kesalahan yang sama, beliau terselamat dari hukuman tersebut.

Para penyokong Atletico Madrid juga tidak berpuas hati dengan gol jaringan Suarez yang dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana mendakwa mereka offside ketika build up gol tersebut.

Namun pertikaian ini agak tidak berasas kerana keputusan pengadil tepat dengan mereka sememangnya berada dalam kedudukan offside.

Atletico sangat berharap untuk kembali menemui rentak kemenangan mereka selepas ini, dalam usaha untuk layak ke peringkat kalah mati.

Atletico selepas ini bakal beraksi bertemu Porto dan AC Milan dan untuk selamat, mereka perlu mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Porto merupakan antara pasukan yang berpotensi untuk mengikut jejak langkah Liverpool dan sepertinya pertemuan antara wakil Portugal itu bertemu Atletico bakal jadi penentu untuk tentukan siapa akan mara.

AC Milan sepertinya sudah tidak ada harapan untuk layak, namun mereka mungkin boleh mencuba nasib andai ada keajaiban untuk mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Sementara Liverpool pula, mereka sudah sah mara ke pusingan 16 terbaik sebagai Juara kumpulan, dan baki dua perlawanan nanti, mereka sudah boleh menurunkan pemain muda sahaja sebagai pelengkap jadual.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemilik Liverpool Diselar Kerana Situasi Kontrak Salah