Darwin Nunez: Pakar ‘Shooting’… Tapi Selalu Tersasar!

Liverpool sepatutnya meraih kemenangan berharga ketika menentang Aston Villa tetapi kesilapan besar Darwin Nunez membuatkan mereka hanya mampu membawa pulang 1 mata. Penyerang Uruguay itu berpeluang menjadi wira namun kegagalannya menyempurnakan peluang keemasan sekali lagi mengundang kekecewaan. Perlawanan ini bukan sekadar satu keputusan seri tetapi juga mencerminkan masalah lebih besar yang sedang dihadapi Liverpool di bahagian serangan.

Darwin Nunez dan Kesilapan yang Sering Menghantuinya

Nunez kelihatan kecewa dan berjalan keluar dari padang dengan kepala tertunduk. Liverpool sudah berada dalam kedudukan yang baik setelah jaringan Trent Alexander-Arnold menyamakan kedudukan 2-2. Kemudian, pada minit ke-69 Conor Bradley menghantar bola kepada Dominik Szoboszlai, yang meluru ke arah pintu gol Aston Villa. Ketika penjaga gol Emiliano Martinez cuba menutup ruang, Szoboszlai dengan bijak memberikan hantaran kepada Nunez yang hanya perlu menyudahkan bola ke gawang yang terbuka luas.

Namun, dengan cara yang sukar dipercayai Nunez merembat bola tinggi melepasi palang dari jarak 6 ela. Kesilapan itu membuatkan pengendali Liverpool, Arne Slot, terdiam dan memegang kepala sebelum bertanya kepada pegawai keempat, “Tak ofsaid?” Malangnya, jaringan itu sah jika ia berlaku dan tiada alasan yang boleh menyelamatkan Nunez daripada kritikan.

Menurut data Opta, peluang tersebut memiliki nilai xG (expected goals) sebanyak 0.75 yang bermaksud dalam kebanyakan situasi, peluang sebegitu sepatutnya menghasilkan gol. Slot sendiri mengakui bahawa Nunez sepatutnya dapat menyempurnakan hantaran sempurna daripada Szoboszlai.

“Saya melihat satu hantaran yang luar biasa daripada Conor Bradley dan larian yang bertenaga daripada Szoboszlai. Dia membuat sentuhan yang sempurna untuk menghantar bola kepada Nunez. Ini peluang terbuka tetapi sayangnya dia gagal menyudahkannya,” kata Slot.

Tidak lama selepas itu, Nunez mendapat satu lagi peluang berdepan Martinez tetapi penjaga gol Villa itu berjaya melakukan terjahan yang kemas untuk menghalangnya.

Statistik dan Prestasi Hambar Nunez

Nunez dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan Diogo Jota pada pertengahan babak kedua namun persembahannya sangat mengecewakan. Dalam tempoh tersebut, dia hanya menyentuh bola sebanyak 10 kali, menyempurnakan 2 hantaran, gagal melakukan sebarang percubaan menggempur pertahanan lawan dan hanya memenangi 1 daripada 5 perebutan bola.

Penyokong Liverpool pernah berharap 2 gol dramatik Nunez ketika menentang Brentford bulan lalu akan menjadi titik perubahan kepada keyakinannya tetapi ternyata ia tidak berlaku. Sejak itu dia gagal menjaringkan gol dalam 8 perlawanan dan hanya 2 daripada perlawanan tersebut dia disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Musim ini, Nunez hanya berjaya menjaringkan 6 gol dalam semua kejohanan, dengan purata 1 gol setiap 285 minit permainan. Jumlah gol yang dicapainya jauh lebih rendah daripada nilai xG sebanyak 9.6, menunjukkan bahawa dia banyak melepaskan peluang yang sepatutnya disudahkan dengan jaringan.

Masa Depan Nunez di Liverpool

Slot telah berjaya meningkatkan prestasi ramai pemain yang ditinggalkan oleh Jurgen Klopp tetapi usaha untuk menggilap bakat Nunez masih belum membuahkan hasil. Sebaliknya prestasi penyerang Uruguay itu semakin menurun sejak musim pertamanya di Anfield. Oleh itu, perpisahan pada musim panas ini dilihat sebagai keputusan yang semakin hampir.

Pada Januari lalu, Liverpool menolak tawaran dari Liga Pro Saudi untuk mendapatkan Nunez kerana sukar mencari pengganti dalam jendela perpindahan musim sejuk. Namun pada musim panas akan datang, kelab perlu mempertimbangkan untuk menjualnya dan mendapatkan penyerang baharu yang lebih sesuai dengan sistem permainan Slot.

Sebaliknya, Jota masih boleh diberikan peluang walaupun dia juga gagal menyempurnakan 1 peluang terbaik menentang Villa. Prestasinya menunjukkan tanda-tanda pemulihan tetapi masalah kecederaannya menjadi faktor yang merisaukan.

Apa yang lebih menarik, semasa Jota tidak dapat bermain akibat kecederaan, Slot lebih cenderung meletakkan Luis Diaz sebagai penyerang utama berbanding Nunez. Liverpool bermain dalam 16 perlawanan Liga Perdana sebelum Jota kembali ke kesebelasan utama menentang Wolverhampton Wanderers pada minggu lalu dan Nunez hanya bermula dalam 6 daripada perlawanan itu.

Walaupun Cody Gakpo mengalami kecederaan buku lali, Federico Chiesa masih tidak diberikan masa permainan. Pemain Itali itu hanya bermain selama 25 minit dalam Liga Perdana sejak menyertai Liverpool. Ini menunjukkan bahawa Slot mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan tetapi tidak yakin dengan Nunez sebagai pilihan utama.

Kebergantungan Terhadap Mohamed Salah

Liverpool mempunyai 6 penyerang senior tetapi dalam perebutan kejuaraan musim ini mereka sangat bergantung kepada Mohamed Salah.

Ketika menentang Villa, Salah menjaringkan gol pertama hasil hantaran Jota dan dia membantu jaringan Alexander-Arnold. Salah kini sudah mencatat 29 gol dan 20 bantuan gol dalam semua kejohanan musim ini, dengan purata 1 sumbangan gol setiap 64 minit.

Dalam Liga Perdana musim ini sahaja, Salah telah menjaringkan 24 gol sedangkan Diaz, Gakpo, Jota, Nunez dan Chiesa hanya mempunyai 26 gol secara keseluruhan. Dengan kontraknya yang bakal tamat pada Jun, prestasi luar biasa Salah semakin mengukuhkan kedudukannya dalam rundingan pembaharuan kontrak bersama Liverpool.

Liverpool Harus Belajar Daripada Kesilapan

Liverpool sepatutnya memenangi perlawanan menentang Villa. Mereka mencipta 17 percubaan berbanding 9 dari Villa dan memiliki xG 2.51 berbanding 0.67. Namun kesilapan individu dan kegagalan menyempurnakan peluang telah merugikan mereka.

Villa berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila Liverpool gagal bertahan dengan baik daripada sepakan percuma sebelum Youri Tielemans menjaringkan gol. Kemudian, kelewatan menutup ruang Lucas Digne memberi peluang kepada pemain itu untuk melakukan hantaran yang disempurnakan oleh Ollie Watkins.

Liverpool yang kehilangan Bradley akibat kecederaan di penghujung perlawanan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan Liga Perdana, sekali gus melebarkan kelebihan 8 mata di hadapan Arsenal yang mempunyai 1 perlawanan kurang.

Slot meluahkan rasa kecewa selepas perlawanan:

“Satu-satunya sebab kami boleh menerima keputusan 2-2 ini adalah kerana Villa memiliki peluang terbaik di penghujung perlawanan. Tetapi jika melihat keseluruhan perlawanan, kami sepatutnya menang. Kami mencipta lebih banyak peluang tetapi gagal menyudahkannya.”

Kesilapan Nunez menjadi faktor utama Liverpool gagal membawa pulang 3 mata penuh. Kini, cabaran buat Slot adalah untuk membangkitkan semangat penyerang itu kerana dia masih akan memainkan peranan dalam baki musim ini. Namun selepas musim panas nanti masa depannya di Liverpool kelihatan semakin kabur.

BACA:  Manchester United Diaibkan Sebanyak 7 Kali Tanpa Balas Di Anfield