Darwin Nunez Raja Tiang Gol Baharu Selepas Pecah Rekod Premier League Berusia 20 Tahun

Penyerang tersohor Liverpool Darwin Nunez mencatat sejarah tersendiri di dalam saingan Premier League ketika pasukannya menewaskan Chelsea 4-1 pada awal pagi tadi.

Penyerang antarabangsa Uruguay itu menghasilkan 11 bantuan gol di dalam semua pertandingan pada musim ini, termasuk hantaran lintang rendah yang disempurnakan Luis Diaz.

Nunez sehingga kini turut telah mencetak 11 gol dan tidak keterlaluan kita katakan kehebatan Nunez pada musim ini kurang didendang sepertimana yang sepatutnya.

Beraksi di musim kedua bersama Liverpool, Nunez membuktikan kualiti dimilikinya baik, termasuk segi kemampuan melakukan larian terus menggunakan kekuatan fizikalnya yang menjadi sebab utama Liverpool sanggup membayar £85 juta kepada Benfica pada 2022 untuk khidmatnya.

Nunez gagal meletakkan dirinya di dalam senarai penjaring menentang Chelsea pada awal pagi tadi, namun pemain itu dianggap telah melakukan segala-galanya untuk berbuat demikian.

Pada babak pertama penyerang berusia 23 tahun itu mengambil sepakan penalti selepas Diogo Jota dijatuhkan oleh Benoit Badashile.

Sepakan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh tiang sebelah kiri untuk mengecewakan Nunez.

Selepas itu Nunez terus menghasilkan komnbinas percubaan yang terkena palang dan tiang sebanyak tiga kali sepanjang perlawanan – kesemuanya gagal menerjah jaring.

Data daripada OptaJoe kemudiannya mengesahkan penyerang itu telah mencipta rekod baharu Premier League – menjadi pemain pertama melakukan percubaan ke arah tiang dan palang sebanyak empat kali dalam satu perlawanan sejak data tersebut mulai direkodkan pada musim 2003/04.

Rekod terdahulu dipegang oleh Cristiano Ronaldo yang dihasilkan pada Oktober 2006 ketika Manchester United menentang Newcastle.

Pemain pertama yang turut merekodkan jumlah percubaan yang dinafikan tiang dan palang gol terbanyak adalah Jay-Jay Okocha ketika Bolton menentang Tottenham pada November 2003 apabila tiga percubaan ke arah gawang lawan dinafikan tiang.

Leandro Trossard dan Timo Wener adalah antara pemain lain yang pernah merekodkan jumlah sepakan yang sana, tetapi Nunez jelas berada di kelas tersendiri apabila akhirnya memecah rekod tersebut.

Nunez dan tiang berpisah tiada. Untuk rekod penyerang ini sudah melakukan sembilan perubaan yang mengenai tiang atau palang sepanjang aksi Premier League musim ini.

Jumlah tersebut tiga kali ganda lebih kerap berbanding kumpulan pemain lain termasuk rakan sepasukan Trent Alexander-Arnold, Anthony Gordon (Newcastle) dan Dominin Solanke (Bournemouth).

Rekod tersebut bagaimanapun pasti tidak akan dihiraukan oleh Jurgen Klopp mengambil kira sumbangan besar pemain itu untuk pasukan sepanjang musim ini.

BACA:  Keraian Penuh Kegilaan Pemain Liverpool Di Bilik Persalinan