Van Dijk: Liverpool Ada 3 Penyerang Terbaik Eropah Buat Masa Sekarang

Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk percaya trio hadapan Liverpool yang dianggotai Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane adalah trio hadapan terbaik Eropah buat masa kini.

Trio berbisa Liverpool tersebut telah berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan secara konsisten musim ini dan persembahan mereka bertiga menyaksikan The Reds melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan menduduki tangga ke-3 Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Ada 5 penyerang terbaik dunia ketika ini. 3 bermain di Anfield dan 2 lagi di Sepanyol, menurut Van Dijk

Antara aksi terbaik yang ditampilkan trio ini adalah ketika mereka membenam pasukan yang baru dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Liverpool menang di tempat sendiri dan juga di tempat lawan dengan aggregat 5-1, sekaligus mengecewakan hasrat Pep Guardiola untuk mencipta treble.

Van Dijk juga berjaya menstabilkan barisan pertahanan Liverpool sejak dibeli dari Southampton pada jendela perpindahan Januari lalu dengan nilai rekod dunia bagi pemain pertahanan berjumlah £75juta.

Walaupun memiliki barisan serangan yang berbisa, bahagian pertahanan sering menjadi punca mengapa Liverpool gagal bersaing dengan pasukan teratas di peringkat domestik.

Trio terbaik dunia. Hanya perasaan hasad dengki sahaja yang menafikan hakikat ini

Tetapi sejak kemasukan pemain antarabangsa Belanda tersebut, Livepool menunjukkan tanda masalah pertahanan mereka telah selesai dan bakal menjadi pesaing utama bagi merebut takhta liga musim hadapan.

Ketika bercakap kepada pemberita, Van Dijk percaya trio hadapan Liverpool adalah yang terbaik di Eropah ketika ini dan berlatih bersama mereka telah menjadikan beliau pemain yang lebih bagus.

“Saya menjalani latihan dan bermain bersama 3 penyerang hadapan terbaik Eropah ketika ini, selain dua penyerang yang bermain di Sepanyol ! [merujuk kepada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo].”

“Mereka juga membuatkan saya menjadi pemain yang lebih baik dan saya banyak belajar daripada mereka.”

Pemain Liverpool paling menonjol musim ini, Mohamed Salah telah menyaksikan beliau diangkat menjadi pembelian terbaik musim ini selepas menjaringkan 40 gol dalam semua pertandingan setakat ini.

Kawan bakal menjadi lawan selama 180 minit

Sumbangan besar Salah kepada Liverpool telah menutup lubang yang ditinggalkan pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho yang menyertai Barcelona pada jendela perpindahan Januari lalu dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £142juta.

Walaupun Salah banyak memenuhi tajuk berita dengan jumlah gol beliau musim ini, sumbangan Firmino dan Mane juga tidak harus dilupakan. Trio ini telah berjaya menjaringkan 82 gol setakat musim ini dimana Firmino mengumpul 25 gol dan Mane pula 17 gol.

Salah bakal kembali ke Itali untuk berhadapan bekas pasukannya, AS Roma dalam pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Seandainya The Kop berjaya melepasi halangan Roma, mereka bakal bertemu sama ada Real Madrid atau Bayern Munich dalam perlawanan akhir yang bakal berlangsung hujung bulan Mei di Kiev Olympic Stadium, Ukraine.

BACA:  Alexander-Arnold 'Berlatih Selama13 Tahun' Untuk Hadapi Real Madrid