Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak ingin memberitahu dan memalukan nama insan yang cuba merasuah Taufik Hidayat dalam perlawanan antara kedua-dua jagoan badminton dunia ini pada peringkat separuh akhir Sukan Asia Doha, Qatar pada tahun 2006.
Taufik, yang kemudiannya ditabalkan sebagai juara Sukan Asia edisi tahun tersebut, baru-baru ini telah mendedahkan kepada dunia dalam satu temubual baru-baru ini bahawa dia telah dihubungi oleh seorang pegawai pasukan dari Malaysia supaya buat-buat kalah kepada Chong Wei.
Dalam temubual bersama wartawan Indonesia tersebut, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004 itu mendakwa nilai suapan yang ditawarkan adalah bernilai dua kali ganda daripada nilai 200 juta rupiah (RM60,000) yang ditawarkan oleh kerajaan Indonesia sekiranya dia berjaya memenangi pingat emas.
1. Retired Indonesian shuttler Taufik Hidayat has alleged that he was approached by a Malaysian team official to throw the match between him and Lee Chong Wei during the 2006 Doha Asian Games semi-final match. pic.twitter.com/5cTgutPuqy
— emmanuelsamarathisa (@esshimself) August 24, 2021
Chong Wei, yang terkejut dengan pendedahan tersebut, telah menghubungi sendiri Taufik Hidayat untuk mengesahkan perkara ini.
“Jujurnya, saya tak tahu pun pasal ni. Saya terkejut bila orang dah mula hubungi saya hari ini (hari Selasa),” ujar Chong Wei seperti yang dilaportkan oleh New Straits Times.
“Taufik adalah kawan baik saya, jadi saya cepat-cepat hubungi dia. Dia cerita semua apa yang berlaku.
“Syukurlah, bagi orang macam saya dan Taufik, kebanggaan negara adalah perkara paling utama.
“Saya tahu siapa orang tu, tapi dah lama sangat kejadian ini berlaku. Saya rasa kita semua patut move on.
“Saya taknak menamakan atau memalukan sesiapa,” tambah Chong Wei lagi.
Pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu mengakui bahawa dia pernah dihubungi oleh manusia yang bergelar bookie untuk mengatur perlawanan, tetapi dia tidak pernah terlibat.
Pada tahun 2018, seorang pemain badminton professional Malaysia, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chung Seang telah digantung masing-masing selama 20 dan 15 tahun oleh Kesatuan Badminton Dunia di atas kesalahan mengatur perlawanan.
Shocked Chong Wei reveals bookies approached him too | Malay Mail https://t.co/bnMMpvhHQK
— Malay Mail (@malaymail) August 24, 2021
“Saya mengaku, saya juga ada dihubungi ketika muda untuk mengatur perlawanan. Saya masih muda waktu tu,” Chong Wei berkata lagi.
“Walaubagaimanapun, negara saya perlu didahulukan. Sebab itulah saya jauhkan diri daripada semua tu,” jelasnya lagi.
Chong Wei telah menggantung raket pada tahun 2019 selepas bertarung dengan kanser hidung.
Taufik Hidayat, seperti Chong Wei juga enggan menamakan individu berkenaan, namun apa yang pastinya adalah dia merupakan bekas pemain badminton kebangsaan.
Dalam kempen Sukan Asia di Doha pada tahun 2006 tersebut, Chong Wei tidak dapat menyaingi kehebatan Taufik di pentas separuh akhir apabila tewas straight set 21-16, 21-18.
Taufik kemudiannya menewaskan Lin Dan di perlawanan penentuan pingat emas, juga menerusi straight set 21-15, 22-20.
Menariknya, pada tahun tersebut, pasukan beregu negara, Koo Kien Kita-Tan Boon Heong telah berjaya memenangi pingat emas acara beregu lelaki, selepas menewaskan pasangan dari Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto di perlawanan akhir. Ternyata Boon Heong tidak kancheong pada waktu itu.
Secara keseluruhan dalam kariernya selama 19 tahun, Chong Wei telah memenangi sebanyak 69 gelaran perseorangan lelaki, dan juga 34 kali muncul naib juara dalam kejohanan BWF, termasuklah empat kali muncul juara All England pada tahun 2010, di mana dia telah menewaskan wakil Jepun Kenichi Tago, pada tahun 2011 menewaskan Lin Dan, 2014 menewaskan Chen Long dan pada tahun 2017 menewaskan Shi Yuqi.
Meskipun gigih mencuba, ternyata rezeki tidak hadir buat Chong Wei dalam kempen Sukan Olimpik, di mana dia tewas sebanyak tiga kali.
Pada tahun 2008, Chong Wei tewas kepada Lin Dan 21-12, 21-8 dalam perlawanan di Gimnasium Universiti Teknologi Beijing, China. Empat tahun kemudian dalam perlawanan di Wembley Arena, London, Chong Wei sekali lagi tewas kepada Lin Dan.
Pada tahun 2016 di Rio, Brazil, Chong Wei telah berjaya menewaskan Lin Dan di peringkat separuh akhir, namun jelas sekali terlalu banyak tenaga telah digunakan untuk menumpaskan jagoan China tersebut, dan menyebabkan Chong Wei tewas kepada Chen Long di pentas akhir.
Apapun, jasa Chong Wei dalam mengharumkan nama Malaysia tidak akan dilupakan dan dia wajar diangkat sebagai antara pemain badminton terbaik dunia sepanjang zaman.