Pemain pertahanan Chelsea, David Luiz dilaporkan bersedia untuk terus kekal bersama Chelsea seandainya Antonio Conte bukan lagi bergelar pengurus pasukan musim hadapan.
Menurut sumber Goal, bekas pengurus Itali dan Juventus ini hampir pasti akan meninggalkan Stamford Bridge penghujung musim nanti walaupun berjaya membawa The Blues memenangi Liga Perdana Inggeris dalam musim pertamanya di England.
Musim ini menyaksikan Chelsea bergelut dengan prestasi dan mereka kini menghuni tangga ke-5 liga, 25 mata ditinggalkan pendahulu liga, Manchester City dan 5 mata dibelakang penghuni slot terakhir Liga Juara-Juara, Tottenham Hotspurs.
David Luiz kini tidak dapat bermain kerana mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan. Walaupun demikian, tempat Luiz dalam kesebelasan utama Chelsea musim ini telah diambil alih pemain muda, Andreas Christansen.
Ini berikutan aksi buruk Luiz dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menentang AS Roma pada Oktober tahun lepas dimana Chelsea seri 3-3 di tempat sendiri. 2 minggu kemudian, Chelsea dibelasah Roma 3-0 dan Luiz antara pemain yang gagal bermain baik dalam perlawanan tersebut.
Sejak dari itu, hubungan Luiz dan Conte bertambah dingin dan beberapa laporan mengatakan kedua-dua individu ini telah bertelagah dalam bilik persalinan. Walaubagaimanapun, Conte telah menafikan laporan tersebut dan mendakwa hubungan beliau dengan Luiz masih lagi berjalan dengan baik.
Dengan waktu permainan Luiz yang terhad pada tahun 2018, masa depan pemain berasal dari Brazil ini sekali lagi menjadi persoalan walaupun baru sahaja kembali menyertai Chelsea dari Paris Saint-Germain musim lepas.
Sejak dipinggirkan dari perlawanan menentang Manchester United pada 5 November, Luiz hanya diberi peluang berada dalam kesebelasan utama sebanyak 4 kali sahaja. Penampilan terakhir beliau adalah ketika Chelsea tewas 4-1 kepada Watford pada Februari lalu, dimana Luiz bergelut untuk mengawal pergerakan Troy Deeney.
Luiz yang kini sudah menginjak usia 30 tahun tidak dapat beraksi buat masa sekarang kerana kecederaan pada bahagian lututnya. Luiz dijangka perlu berehat selama sebulan lagi sebelum benar-benar sembuh dan bakal kembali beraksi dalam pertemuan penting menentang Tottenham Hotspurs awal April nanti.
Pihak atasan Chelsea merupakan peminat Luiz dan ia terbukti dengan tindakan mereka menandatangani Luiz sebanyak dua kali walaupun terpaksa berbelanja besar. Untuk rekod, kali pertama Chelsea mendapatkan khidmat Luiz adalah dari Benfica dan selepas menjual beliau ke PSG pada tahun 2014, pemain ini dibawa kembali ke Stamford Bridge musim lepas atas permintaan Conte.
Antara jasa terbesar Luiz kepada Chelsea adalah ketika beliau membantu The Blues menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2012, menewaskan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti.
Walaupun ramai beranggapan Bayern Munich bakal merangkul trofi Liga Juara-Juara pada edisi tersebut dan ditambah pula venue final adalah di Allianz Arena, Chelsea yang dibimbing Roberto Di Matteo ketika itu berjaya mengejutkan dunia dengan menerusi taktikal bertahan yang penuh disiplin.