David Moyes, seorang pengurus yang pernah mengemudi beberapa kelab ternama di England, turut melalui fasa mencabar dalam kariernya ketika menerima tawaran melatih Real Sociedad di Sepanyol. Walaupun tempoh perkhidmatannya disana tidak panjang namun pengalaman di San Sebastian meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.
Permulaan di Sepanyol: Langkah Berani Moyes
Pada April 2014, selepas hanya 9 bulan di Manchester United, David Moyes meninggalkan kelab itu dengan pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Di sebuah hotel kecil bernama The Tickled Trout, berhampiran lebuh raya M6, beliau menjalani temu bual pertama selepas pemecatannya.
“Saya fikir kalau saya tahu saya hanya ada 9 bulan di United, saya akan buat banyak perkara dengan cara yang berbeza,” katanya.
Dalam perbualan santai selepas wawancara rasmi, Moyes tiba-tiba bertanya, “Apa yang awak tahu tentang Real Sociedad?” Ketika itu, beliau sedang mempertimbangkan tawaran daripada kelab Sepanyol tersebut. Selepas mengumpulkan maklumat mengenai pasukan itu. 2 minggu kemudian, Moyes menerima jawatan sebagai ketua jurulatih Real Sociedad.
Beliau sedar bahawa cabaran yang menanti bukanlah mudah. Real Sociedad yang baru sahaja kehilangan bintang utama seperti Antoine Griezmann dan Claudio Bravo, berada di kedudukan ke-19 daripada 20 pasukan dalam La Liga. Namun Moyes yakin dengan pemain yang masih ada termasuk Xabi Prieto, Inigo Martinez dan Carlos Vela.
Kejayaan Awal dan Kejutan ke atas Barcelona
Walaupun bermula dengan sukar, Moyes berjaya membawa Sociedad naik ke tangga ke-10 liga dan hanya tewas sekali dalam 7 perlawanan pertamanya. Namun, pencapaian terbesar dalam tempoh itu adalah kemenangan 1-0 ke atas Barcelona pada Januari 2015.
“Saya masih ingat dengan jelas. Kami menjaringkan gol awal dan baki 89 minit terasa sangat panjang ketika cuba mempertahankan kelebihan itu,” kenangnya.
Ketika itu, Lionel Messi hanya dimasukkan pada separuh masa kedua, namun Sociedad tetap berjaya bertahan dan mencipta kejutan.
“Kami menang dengan bertahan habis-habisan dan mengambil peluang yang ada. Ia bukan gaya bola sepak yang saya mahu mainkan tetapi menentang pasukan seperti Barcelona, anda perlu realistik,” jelasnya.
Menyesuaikan Diri dengan Budaya Sepanyol
Selain tugas di padang, Moyes juga menikmati kehidupannya di San Sebastian. Beliau sering mengajak wartawan minum selepas perlawanan, menunjukkan sisi humor yang jarang dilihat oleh peminat bola sepak.
“Saya selalu cakap kepada Billy, ‘Nikmatinya selagi boleh, sebab ia takkan kekal selamanya,’” katanya, merujuk kepada pembantunya, Billy McKinlay.
Walaupun menghargai gaya hidup di Sepanyol, terdapat satu perkara yang menjadi cabaran besar buatnya. Ia adalah masalah bahasa.
“Saya cuba belajar bahasa Sepanyol dan mengambil kelas persendirian tetapi saya akui, ia agak sukar,” katanya.
Namun, beliau tetap berusaha untuk berinteraksi dengan peminat dan pemain dalam bahasa tempatan. Dalam sidang media pertamanya, beliau menyebut “Kaixo”, iaitu ucapan ‘Hello’ dalam bahasa Basque, yang serta-merta menjadi tajuk utama di Sepanyol.
Moyes juga tertarik dengan budaya bola sepak Sepanyol. Beliau sering ke Bilbao untuk menonton perlawanan Athletic Club dan pernah menyaksikan pasukan muda Real Madrid kendalian Zinedine Zidane beraksi.
“Bola sepak Sepanyol bukan sekadar tiki-taka. Barcelona memang luar biasa tetapi di tempat lain, seperti di Eibar, ia lebih kepada bola sepak fizikal dan keras,” katanya.
Kesukaran Musim Kedua dan Pengakhiran yang Pahit
Memasuki musim ke-2, cabaran semakin hebat. Selepas hanya meraih 2 kemenangan sehingga awal November 2015, Moyes akhirnya dipecat.
“Saya lebih baik dalam membina pasukan dalam jangka masa panjang dan saya tidak mempunyai cukup masa di Sepanyol,” katanya.
Namun, hubungan baiknya dengan kelab tetap terjalin. Malah, beliau pernah membantu mendapatkan tiket untuk bekas stafnya yang mengadakan parti bujang di London dan menonton perlawanan antara West Ham dan Arsenal.
Walaupun meninggalkan kelab itu lebih awal daripada yang diharapkan, beliau tetap menghormati pencapaian Sociedad yang berjaya layak ke Liga Juara-Juara dan memenangi Copa del Rey beberapa tahun kemudian.
“Mereka berjaya layak ke Liga Juara-Juara dan memenangi Copa del Rey. Saya rasa mereka seperti Brighton atau Brentford di Liga Perdana – kelab yang berjaya mencari jalan sendiri,” katanya.
Satu perkara yang sedikit dikesali Moyes ialah keputusannya untuk tinggal di hotel sepanjang berada di San Sebastian.
“Saya buat keputusan itu sebab saya tinggal bersendirian dan mahu fokus sepenuhnya kepada kerja. Tetapi saya faham, tinggal di hotel tidak menunjukkan saya merancang untuk berada di sana dalam jangka masa panjang,” katanya.
Kesimpulan
Walaupun tempoh Moyes di Real Sociedad tidak lama, ia tetap menjadi salah satu pengalaman paling unik dalam kariernya. Keberaniannya mencuba sesuatu yang baharu dan menghadapi cabaran budaya yang berbeza menunjukkan sifatnya sebagai seorang pengurus yang tidak gentar dengan perubahan.
Hari ini, Moyes terus berkembang dalam dunia bola sepak. Beliau membawa West Ham menjuarai UEFA Conference League pada 2023, trofi utama pertama kelab itu sejak 1980. Kini, beliau kembali ke Everton dan membantu pasukan itu menjauhkan diri dari zon penyingkiran.
“Tak ramai pengurus Britan yang mendapat peluang di luar negara dan saya bangga kerana saya adalah salah seorang daripadanya,” katanya.
Walaupun Real Sociedad bukanlah kejayaan terbesar dalam kariernya, San Sebastian tetap menjadi tempat yang istimewa dalam hati David Moyes.